Sabtu, 25 Juni 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 17 :PERLUMBAAN AGAMA (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Meskipun Islam tidak akan hapus dari dunia, namun dia mungkin hapus dari Indonesia kalau umat tidak membelanya demikian kata Almarhum K.H. Ahmad Dahlan (Pendiri Muhammadiyah).

Orang yang kurang menyelidiki berkata bahawa agama itu menimbulkan perselisihan, tiap-tiap agama mengatakan pihaknya yang lebih benar, dan agama lain penuh dengan kesalahan.

Jika terjadi perselisihan suatu agama dengan agama lain seorang arif budiman tidak akan mencukupi langkahnya sehingga itu saja atau menyingkirkan diri. Pertikaian di antara penganut agama itu menghendaki penyelidikan dan pemeriksaan yang teliti. Seorang penyelidik akan menyatakan buah penyelidikannya, kadang-kadang salah dan kadang-kadang benar. Kalau tidak ada penyelidikan, tentu orang tak dapat membezakan yang baik dengan yang jahat. Kalau tidak ada kesungguhan memeriksa, tentu tidak akan bertemu barang yang hilang.

Penyelidikan adalah tabiat manusia yang akil, itu sebabnya maka sudah beribu tahun agama-agama tersiar di dunia, padahal manusia belum berlindung kepada suatu agama saja. Hikmat kebenaran itu laksana berlian, mahal tetapi jauh tersembunyi.

Firman Allah swt:

"Kalau Tuhanmu berkehendak, tentu dijadikanNya segenap manusia ini menjadi umat yang satu, sekarang mereka masih tetap berselisih saja, kecuali orang yang beroleh rahmat dari Tuhanmu". (Hud: 118-119).

Berselisihlah orang yang belum masuk kelas penyelidikan, bebas dari perselisihan orang-orang yang mengorek rahsia itu sampai dalam, keringat keluar dari dahinya, lantaran menggali tanah mencari berlian.

Quran telah menyatakan semuanya itu. Manusia terjadi bergolong-golongan, tiap-tiap golongan lebih mencitai golongannya sendiri.

"Tiap-tiap golongan lebih suka membanggakan kelebihan yang ada padanya". (Ar-Rum: 32 dan Al-Mukminun: 53).

Lantaran itu banyaklah perselisihan. Penganut suatu agama menyatakan agama lain salah, agamanya yang betul. Orang Yahudi mengatakan orang Nasrani itu tidak ada tempat tegaknya, orang Nasrani mengatakan agama Yahudi tak beralasan, penduduk Islam sendiri pun tidak kurang yang berfaham demikian. Padahal segala perkara kelak akan diputuskan di hadapan Qadhi Rabbul Jalil, di hari kemudian.

Kedatangan Islam ke dunia adalah pada zaman pertikaian di antara agama-agama sangat kerasnya, yang satu menghina yang lain, pihak satu merendahkan pihak lain. Hanya sedikit golongan yang terlepas. Kedatangan Islam ke dunia mencela segala pertengkaran yang tak berhujung itu. Islam menerangkan bahawa agama itu sekeliannya bukanlah kepunyaan manusia, tetapi kepunyaan Allah yang dibangun pada tiap-tiap zaman dengan perantaraan utusan-utusanNya. Dia ingatkan bahawa kedatangan Nuh, Ibrahim, Ismail sampai kepada Musa dan Isa, Sulaiman dan Daud, sampai kepada Muhammad, selawat dan salam pada mereka semunya, berasal dari Tuhan. Asas agama itu satu, agama yang didatangkan Musa, itu juga yang dibawa oleh Isa. Dan kedatangan uhammad di belakang itu adalah menyambung dan mencukupkan pelajaran yang telah dibawa oleh Nabi-Nabi yang terdahulu daripadanya. Agama itu satu wujud dan maksudnya, tidak dibangsakan kepada suatu keturunan sebagai Yahudi, dan tidak pula diangsakan kepada suatu tempat sebagi negeri Nazereth, iaitu Nasrani. Wujud dan tujuannya satu, iaitu menyerahkan diri kepada Tuhan bulat-bulat, yang didalam bahasa Arab dinami Aslama, Yuslimu, Islaman (menyerah).

Tanda asas agama itu satu dinyatakan oleh Islam dengan terang-terang. Asas itu ialah "Menyembah kepada Allah dan tidak mensyerikatkanNya dengan yang lain". dan tidak boleh mengambil Arbah (Tuhan) selain dari Allah.

Menurut Islam, jika segala ahli kitab telah memalingkan mukanya kepada pelajaran ini, dia telah Islam dengan sendirinya. Yang menjadi pangkal perselisihan segala penganut agama ialah kerana ketinggalan asas itu, iaitu lalai atau lupa bahawa maksud agama ialah menyembah Allah lain tidak. Keluarlah orang Nasrani dari peraturan ini setelah mereka memandang Isa anak Allah dari menyamakan darjatnya dengan Tuhan, dan keluarlah Yahudi dari pelajaran ini setelah mereka katakan Uzair anak Allah, atau anak lembu (ijil) itu Tuhan. Dan penganut Islam sendiri pun terlepaslah dari pelajaran yang murni ini bilamana ia lupa akan asas agama yang pertama itu, lalu dia menuhankan kubur, makam, tugu dan lain-lain.


Tuhan berfirman:

Ertinya; "Mensyari'atkan Dia untuk kamu akan agama yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan barang yang Kami wahyukan kepada engkau dan barang yang kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu bahawa mendirikan kamu sekelian akan agama dan janganlah berpecah-pecah padanya. Tetapi orang yang memperserikatkan Tuhan merasa berat akan menurutkan seruan ini". (As-Syura: 13).

Ertinya: "Katakan Muhammad! Hai ahli kitab, marilah kamu sekalian kepada kalimat yang bersamaan antara kami dengan kamu (padanya), iaitu bahawa tidak kita menyembah yang lain dari Allah dan tidak kita perserikatkan dengan Dia barang sesuatu, dan jangan mengambil setengah kita akan yang setengahnya menjadi Yang Maha Kuasa selain Allah. Kalau mereka telah berpaling kepada itum maka katakan: Saksikanlah bahawa kita sekalian telah Islam". (Ali-Imran: 64).

Mulai Quran dibuka, pada halaman yang kedua telah tersebut bahawa orang yang muttaqin ialah orang yang percaya pada yang ghaib, mendirikan solat dan menafkahkan rezekinya. Kemudian itu dia percaya pada yang diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan yang diturnkan kepada yang sebelum engkau, iaitu Nabi-Nabi yang terdahulu. Seorang Muslim disuruh mempercayai Nabi. Kitab-kitab dan pelaran-pelaran yang dahulu. Jika terjadi perubahan dalam perkara ibadat da pada ranting-rantingnya, itu adalah menurut tingkatan perubahan masyarakat dan kemajuan perikemanusiaan juga. Munculnya agama dalam alam dunia ini adalah laksana lahirnya seorang manusia, mula-mula ia keluar dari perut ibunya tidak berpakaian, kemudian bertambah besar dan bertambah akalnya, datang waktu mudanya dan waktu sempurna akalny, sampai kelak datang kerosakan alam, iaitu kiamat. Disanalah perhentian perjalanan agama itu.

Manusia disuruh mempergunakan akal da fikiran disuruh pula menyingkirkan perselisihan dan perkelahian lantaran perbezaan pendapat. Bilamana perselisihan telah hilang dan hati telah beroleh petunjuk, penyelidikan telah sampai kepada akhirnya, nescaya Nur Ilahi akan datang dengan sendirinya. Itulah hikmat yang terkandung dengan kedatangan rasul-rasul berganti-ganti, memimpin otak manusia supaya berfikir, sejak Nuh sampai Muhammad, diajar dan dididik supaya mereka merdeka berfikir sendiri. Setelah tarikh kemajuan manusia itu cukup untuk dilepaskan bekerja sendiri, tidaklah nabi-nabi itu akan datang lagi. Muhammad penutup dari segala Mahaguru, dialah Rasul yang penghabisan. Sebab manusia sejak zaman Muhammad, telah sanggup dan cerdas berfikir sendiri.

Bekas Agama Kepada Akal Dan Adat.

Tiga macam kepercayaan timbul dalam hati, orang yang terikat agama dan tiga macam pula sifat-sifat yang terpuji. Ketiga macam kepercayaan dan tiga macam sifat itu setelah diselidiki, sangat besar pengaruhnya bagi kemajuan suatu bangsa, tiang tengah dari kemuliaan masyarakat, sendi teguh dan pada kemajuan dunia. Dialah yang menghalau manusia supaya tampil ke gelanggang penghidupan, untuk mencari bahagia dan kemajuan, lahir dan batin, budi dan kesopanan. Dia menyingkirkan diri dari kejahatan, dari fasad, menghalanginya dari sebab-sebab yang menghancurkan dan membinasakan.

Kepercayaan yang tiga macam itu ialah:
  1. Bahawa manusia itu makhluk yang termulia darjatnya dalam alam.
  2. Penganut tiap-tiap agama mempercayai bahawa penganut agamanyalah yang paling mulia.
  3. Mempercayai bahawa manusia ini hidup di dunia bukan tuntuk dunia. Dia ke dunia hanya singgah, di dunia ini dia menyiapkan diri untuk mencapai budi pekerti 'utama', sebab dia akan menempuh suatu alam yang lain yang lebih luas dari alam sekarang dan lebih tnggi. Dia akan pindah dari negeri sempit ke negeri lapang, dari negeri tipu daya kepada pembalasan yang kekal, yang kebahagiaannya tidak luntur-luntur dan keberuntungannya tidak habis-habis.

Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama:
  1. Perasaan malu. Iaitu rasa enggan mendekati suatu pekerjaan yang tercela.
  2. Bila dipercayai di dalam pergaulan hidup bersama (amanah).
  3. Benar dan lurus (siddiq).

TASAWWUF MODEN FASAL 16 :BAHAYA MENGINGKARI TUHAN {ATHEISME} (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Faham yang berbahaya itu jika menular di kalangan suatu bangsa, alamat budi pekerti dan kesopanan bangsa itu akan rosak binasa, akalnya akan dutumbuhi oleh kejahatan, hati tiap-tiap orang akan penuh dengan tipu daya, sehingga lemahlah pergantungan umat itu dalam kehidupan. Syahwat dan nafsu angkara murka itulah kelak yang akan jadi pedoan dalam kehidupan mereka. Di antara yang satu dengan yang lain hilang rasa amanat, rasa percaya mempercayai, akhirnya hilanglah nama umat atau bangsa itu, jatuh kepada melarat dan perhambaan.

Ada golongan yang mengaku pintar, mengatakan bahawa mengingkari Tuhan dia menjadi orang merdeka dan menghidupkan budi pekerti mulia, menegakkan kesopanan dan mengangkat kedudukan suatu bangsa. Kerana kepercayaan yang salah itu banyak tersiar, terbuktilah kerosakan negeri dan bangsa, rakyat dan pemerintah sama-sama kehilangan pegangan.

Manusia-manusia yang tersesat itu merasa tidaklah cukup dan lengkap hidupnya sebelum tercapai segala kehendak syahwatnya. Untuk itu, segala jalan dan ikhtiar akan ditempuhnya. Yang wajib, ialah yang dikehendaki oleh syahwat dan yang haram ialah yang tidak disukai oleh syahwat. Bila kepercayaan kepada Allah sudah bilang, syahwatlah yang memerintah. Untuk mencapai kehendak syahwat ada jalan yang lurus dan ada jalan yang bengkok, ada yang baik, dan ada yang mendatangkan malu dan ada yang dikerjakan dengan terus terang. Kalau dibiarkan saja, tentulah tidak akan dapat persesuaian di dalam masyarakat.

Kalau masyarakat ini hendak diatur juga, kalau keamanan dan kesentosaan hendak dijaga dan manusia tidak akan diserupakan hidupnya dengan binatang perlulah ada 4 rukun yang harus diterangkan:
  1. Pertahanan atas diri.
  2. Menjaga Kehormatan.
  3. Mendirikan suatu Pemerintahan.
  4. Mengakui ada kekuasaan ghaib yang melindungi alam yang akan memberi ganjaran baik dan buruk di hari kemudian.

1. Pertahanan Atas Diri.

Ialah kesanggupan manusia mempertahankan dirinya dari serangan orang lain dan menyerang kalau perlu, berperang dan diperangi, sanggup menumpahkan darah, baik darah sendiri atau darah orang lain, sanggup menghadapi mati untuk mempertahankan hak. Dalam perkara ini, tentu yang kuat di atas, yang lemah tersungkur ke bawah, yang cerdik menjual, yang bingung terjual, yang bertanduk menikam, yang tumpul kepalanya menyerah.

Pertahanan atas diri selamanya akan ada, selama dunia masih berkembang.


2. Menjaga Kehormatan.


Semangat mempertahankan kehormatan atau penjagaan 'syaraf' perlu ada dalam pergaulan hidup. Rasa malu atas kejatuhan nama keluarga dan kaum kerana perbuatan sendiri, agar tidak menjadi buah-mulut orang. Lawan sifat ini ialah rendah budi, tidak peduli atas gunjing dan pembicaraan orag, dan tak punya malu.

Mejaaga kehormatan nama dan kaum, sangat penting dalam pergaulan hidup. Tetapi ganjilnya pula, dia tidak mempunyai hakikat yang tentu, tidak dapat dikenal benar batas-batasnya sehingga ana penjagaan kehormatan itu di antara segala bangsa-bangsa.

Bagi Mussolini merampas negeri Ethiopia bererta kehormatan bangsa, tetapi bagi Negus raja Ethiopia bernama kehilangan tanah air.

Bagi Yahudi merampas suatu negeri di palestine suatu keuntungan, tetapi bagi bangsa Arab, suatu kerugian dan bagi Inggeris dan Peranchis suatu hal mesti, dan bagi Amerika suatu bukti kekuatan.

Bagi Jepun merampas Manchuria berkaitan dengan kemuliaan, tetapi bagi China suatu malu tercoreng di kening.

Mussolini dapat bintang kehormatan lantaran penjajahannya di Ethiopia, Negus kehilangan singgahsana.

Berontak dari penjajah, bagi bangsa terjajah, suatu penebusan kehormatan. Bagi penjajah suatu penderhakaan.

Di mana batasnya penjagaan kehormatan itu?

Seorang saudagar yang menjual barangnya dan mencari untung, mencampurkan barang itu dan menamai perbutan itu 'kecerdikan', tetapi di pembeli menamai 'tipu daya'.

Kerajaan-kerajaan yang berkuasa kerapkali memungkiri perjanjiannya. Baginya itu suatu kemegahan, tetapi bagi rakyat yang lemah suatu pelanggaran. Kalau kerajaan-kerajaan dan pemimpin-pemimpin yang besar membuat perbuatan onar (huru hara), didiamkan bahkan dipuji, tetapi kalau orang atau kerajaan kecil yang melakukannya, disebut perbuatan itu melanggar kehormatan bangsa, membawa kehinaan.

Untuk meuntungannya sendiri, dinamai juga menjaga kehormatan, untuk kekayaan seseorang, dikatakannya membela diri.

Ramai sekali orang menegakkan kehormatan diri di atas tengkorak orang lain, menyiramnya dengan darah supaya subur, tidak enggan menerima wang suap dengan senyum dan orupsi. Pada lahirnya dilihat terhormat, lantaran kayanya, hartanya, gajinya, pakaiannya, darah turunannya, padahal dia seorang penjahat.

Berapa ramai orang yang berbudi luhur hidup melarat, tidak cukup makan, sedangkan orang penipu hidup mewah. Berapa ramainya orang yang berhias dadanya dengan bintang-bintang kadang-kadang bintang itu dikejarnya dengan mengorbankan orang lain.

Kita kembali kepada orang yang mengatakan, hidup itu cukup dengan menjaga diri sendiri saja, tidak usah dipertalikan dengan kepercayaan adanya Tuhan. Demikianlah setengah gambaran pembelaan kehormatan yang tampak oleh mata, yang terdengar oleh telinga yang disaksikan dengan pengalaman. Kalau demikian tidaklah cukup peraturan hidup, kalau hanya bergantung kepada pembelaan kehormatan saja.

Menjaga kehormatan dalam bentuk demikian hanya menimbulkan kacau. Batas-batasnya terlalu samar.

3. Mendirikan Suatu Pemerintahan.

Suatu negeri, sejak dihuni oleh manusia menurut historis materialisme sendiri pun perlu ada suatu pemerintahan. Mula-mula yang dijadikan pemerintah ialah siapa yang paling kuat dan gagah, di antara keumpulan manusia yang banyak itu, sanggup mengepalai keperluan dan penghidupan golongan kaumnya. Kemudian, kerana menurut falsafah hidup, 'manusia mempunyai tabiat menerima kemajuan', maka majulah pula tarikh pemerintahan itu menurut kemajuan manusia tadi, sampai kepada kemajuan tingkat sekarang ini. Timbullah undang-undang, mahkamah dan penjara, hukuman, hakim dan orang-orang yang dihukum.

Pemerintahan, perlu untuk menjaga pergaulan lahir dari manusia. Pergaulan lahir saja, Batinnya tidak!

Dengan adanya pemerintahan, terkekanglah nafsu syahwat manusia, terbatas rasa hendak menumpahkan darah dan terkongkong perasaan penjagaan kehormatan.

Pemerintahan menseimbangkan kemerdekaan diri dengan kepentingan bersama.

Tetapi ada lagi kerosakan-kerosakan yang oleh hukum tak dapat diikat, bermacam-macam tipu yang merosak masyarakat, yang oleh undang-undang negeri tak dapat ditangkap. Sebab tidak tertulis dalam artikel.

Diperkosanya bini orang, saksi tidak ada. Dicurinya harta orang dengan diam-diam, tetapi bukti tak cukup. Dirampasnya harta-benda orang lain lantaran dia kuat, golongan besar atau cerdik, sehingga pemerintah tak sanggup menangkapnya. Dia menipu, dengan berkulit pertolongan.

Dengan kejadian yang demikian, siapakah yang dapat menghukum? akim-hakim? Kadang-kadang hakim itu sendiri bekerja demikian pula.

Polis menangkap orang berjudi, tetapi dia sendiri seorang pendufi besar. Berapa banyak pokrol yang membela orang di muka hakim, padahal sebenarnya dia seorang pemeras, sehingga dapat gelar 'pokrol bambu', sebab di luarnya keras tetapi di dalamnya kosong.

Hakim itu disumpah.

Dengan nama apa dia bersumpah? "Demi kehormatanku", seperti di Turki, padahal kehormatannya sendiri yang kerapkali menyuruhnya memakan wang suap, rasuah untuk menumpuk harta kekayaan. Dengan nama Allah? Bagaimana, kalau dia sendiri tidak percaya kepada Allah? Kadang-kadang nama 'Allah' itu manjur (berguna) betul untuk penutup mulut orang yang ditipu.

Bukankah kerapkali terjadi huru-hara lantaran hakim-hakim itu juga?

Kian lama bentuk pemerintahan kian maju. Dari sewenang-wenang telah meningkat kepada demokrasi. Tetapi demokrasi menjadi 'besar bungkus tak berisi'. Sebab pemerintahan yang rendah mutunya, adalah cermin demokrasi dari bangsa yang juga bermutu rendah.

Sebab itulah maka perlu, tidak dapat tidak, pergaulan hidup diberi rukun yang keempat.

4. Percaya Pada Adanya Tuhan. (Mengakui Ada Suatu Kekuasaan Ghaib Yang Melindungi Alam).

Mempercayai bahawa alam ini ada yang menjadikan, berkuasa dan berkudrat iradat, luas ilmuNya di atas tiap-tiap sesuatu besar dan kecil, berlaku hukumNya, tidak memandang rendah dan tinggi, kaya dan miskin, hina dan mulia.

"Siapa yang mengamalkan kebaikan, walaupun sebesar zarrah, akan diperlihatkan juga kepadanya, barangsiapa yang beramal kejahatan walaupun sebesar zarrah, akan diperlihatkan juga kepadanya".

Membalas baik dengan kebaikan, membalas jahat dengan kejahatan pada kehidupan di balik kehidupan yang sekarang ini. Percaya pada Tuhan inilah yang dapat mengendalikan syahwat menuju kehendaknya, jangan terbentur dengan kepentingan orang lain dan jangan pula merosak diri sendiri. Inilah pula yang menentukan di mana batas-batasnya pertahanan diri dan penyerangan. Ini pula yang menentukan di mana batas penjagaan kehormatan diri dan di mana yang mengenai orang lain, itulah iman.

Kalau hati sunyi dari dua kepercayaan ini, iaitu adanya Allah dan adanya hari pembalasan pada kehidupan yang akhir, datanglah syaitan, bergelora syahwat, lepaslah nafsu dari rantainya, laksana anjing di pautan melompati tangan orang yang megang tulang. Terbukalah jalan kepada kerendahan budi, baik bagi diri sendiri, mahupun pergaulan hidup. Tertutup pintu menuju keutamaan.

Orang yang tidak percaya adanya hari pembalasan, hanya berpedoman kepada penjagaan kehormatan saja dapatkah menahan diri dari buru hara dan kebinasaan?

Dalam pergaulan hidup, kongkongan yang pertama itu datangnya ialah dari diri sendiri. Maka siapakah yang akan menghalangi diri dari huru hara dan kebinasaan jika dia tidak percaya adanya seksa dan pahala? Apalagi kalau perbuatan jika dia tidak pula disembunyikan, tidak tampak oleh mata orang lain dan mata pemerintah, apalagi kalau cukup pula baginya alat-alat dan kemewahan untuk menutup. Misalnya orang kaya boleh menutupi busuk namanya dengan wangnya, diktator menutupi kesalahan pemerintahannya dengan seldadu dan gas beracunnya, bom atomnya, atau dengan silat lidahnya.

Dimanakah lagi orang akan menuntut keadilan kalau tidak ada suatu kekuatan ghaib yang mengawasi tingkah lakunya?

Faham menyingkirkan Tuhan dari urusan pemerintahan pasti mendatangkan bahaya bagi masyarakat.

Meskipun, kelihatan orang yang mengingkari Tuhan itu berbudi baik, maka tempat tegak budinya amat rapuh, mandul tak beranak, kerana sumber sifat kesempurnaan itu telah dipotongnya lebih dahulu, urat tunggang budi pekerti itu telah dicabut.

Adapun orang yang tak mempercayai Tuhan, bangga mengatakan bahawa percaya kepada Tuhan mengajar kita pengecut, mengajar takut mati. Sedang terlepas dari mempercayai Tuhan, mengajar berani dan tak takut mati.

Memang, mereka tak takut mati, tak takut akan pahala dan dosa, seksa dan azab, sebab itu mereka berani melakukan segala kejahatan, segala aniaya, merdeka merosak sesama manusia, sebab mereka tak takut balasan. Mereka merasai enak terlepas dari kongkongan agama. Suasana dalam masyarakat begini adalah 'siapa kuat itulah yang di atas'. Siapa yang melawan, bunuh saja. Walaupun kawan sendiri. Keamanan jiwa tak ada di sini, kecuali bagi orang yang tidak hendak berfikir lagi.

Anehnya pula, jika golongan itu telah mulai berpengaruh di dalam satu bangsa, berikhtiarlah mereka hendak membongkar asas keamanan masyarakat. Menurut kawat Aneta 10 Ogos 1973, di Brussel diadakan kongres dari pemberantas agama di muka bumi ini. Mereka mengatur rencana hendak menghancurkan mahligai keberuntungan orang beragama, dengan beberapa asalan yang rendah. Mereka batalkan dan tolak segala agama. Mereka katakan agama itu hanya buatan fikiran manusia dan tahyul.

Mereka hendak mengajak manusia supaya kembali kepada kerendahan budi. Sebab dalam teori mereka tersebut bahawa manusia ini hanya binatang yang tidak lebih daripada binatang yang lain, malah banyak kekurangannya. Hidup sesudah hidup yang sekarang tidak ada.

Insan sama dengan tumbuhan-tumbuhan, tidak lebih tidak kurang, tumbuh dan tumbang. Dengan sendirinya, meskipun setengahnya tidak mengaku, terbukalah pintu kebinatangan bagi manusia merampas harta benda, bahkan merampas kemerdekaan jiwa dan fikiran.

Kalau kepercayaan seperti ini disiarkan, orang yang berrbudi dan berpengetahuan kepalang tanggung akan tertarik kepadanya. Kepercayaan akan mendorong kerosakan yang telah menjalari suatu umat.

Hubungan lelaki dan perempuan, tidak perlu dengan nikah lagi, kerana perkahwinan itu dianggap mengikat dan mengongkong fikiran, menaklukkan diri kepada agama, sebab itu lebih baik bersahabat saja. Rasa malu dan sopan mulai berkurang. Kalau kelihatan juga malu dan sopan, ialah sebelum partinya belum besar, malu segan kepada golongan banyak, masih takut diejek orang, padahal ejekan itu berlawanan dengan hatinya. Maka kacaulah keturunan.

Timbullah perasaan egois (hanya mencintai diri seorang amaniyah), tidak peduli pada orang lain. Sehingga untuk manafaat diri seorang atau bangsanya seorang, biar diri orang lain atau bangsa lain binasa. Mereka tidak takut mati, sebab itu mereka tidak segan berbuat jahat, neraka yang menunggu tidak mereka percayai. Tetapi mereka pun sangat takut mati, takut bercerai dengan kesenangan dunia yang rendah ini.

Kalau ada pergerakan kebangsaan, yang membela tanah air dan bangsa, orang yang cinta pada bangsa itu, ialah yang teguh berperang pada agama. Golongan pengikut Tuhan, yang mengaku bahawa dengan jalan dekikian, bernama ahli fikir, ahli ilmu, merekalah yang dahulu mundur bila bertemu bahaya.

Tetapi kalau pekerjaan orang-orang yang berjuang itu berhasil, mereka pulalah yang akan berkotek-kotek serupa ayam akan bertelur, dengan tidak malu-malu mengatakan bahawa semuanya itu ada atas jasanya.

Inilah akibat kesombongan jiwa.

Kesimpulannya ialah gabungan di antara ketiga unsur di dalam menegakkan hidup, membuat hidup bernilai. Hidup yang tidak berunsur, tidaklah bernilai.
  1. Kesedaran manusia akan diri peribadinya.
  2. Pemerintahan yang teratur, untuk menjaga gabungan peribadi yang satu dengan peribadi yang lain di dalam menuju peribadi besar, iaitu peribadi masyarakat.
  3. Agama sebagai sumber kekuasaan batin, yang dimulai pada diri peribadi, dan menampakkan coraknya di dalam masyarakat.

TASAWWUF MODEN FASAL 15 : APAKAH PERLU IMAN KEPADA ALLAH BAGI SUATU BANGSA (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Dengan keterangan-keterangan itu dapat difahami bahawa Allah memandang dan menjagi tiap-tiap diri hambaNya. Tiap-tiap kita ini berada dalam tilikan dan lindunganNya. Kalau demikian cinta Allah kepada kitam marilah kita berfikir siapakah kita ini semestinya.

Wahai orang-orang yang menyerukan kebenaran, yang berniat hendak memajukan bangsa dan tanah airnya.

Wahai orang-orang yang tidak sayang darah dan nyawa untuk mencapai bahagia dan kemerdekaan, yang hendak melepaskan aniaya dan belenggu, yang hendak menegakkan keadilan dan kebenaran!

Dengarlah himbauanku, au hendak menunjukkan suatu jalan supaya maksud yang mulia itu tercapai!

Terangkanlah kepada orang ramai, kepada pendengar nasihatmu, kepada pembaca-pembaca tulisanmu, kepada rakyat yang sudi mengikutimu terangkanlah kepada mereka, bahawa Allah sentiasa melihat dan menjaga gerak-geri mereka selama-lamanya.

Terangkanlah kepada setiap pemerintahan yang berkuasa, berlaku adillah memerintah. Sebab kezaliman barus dipertanggungjaawabkan di hadapan Yang Maha Kuasa.

Terangkan sampai terasa kepada hakim-hakim, bahawa jika mereka menghukum dengan zalim, perkara ini kelak akan dibuka kembali di hadapan Allah.

Terangkan kepada orang berniaga, bahawa jika mereka menipu, tipuannya selalu dilihat Tuhan tidakkah dia malu?

Terangkanlah kepada mereka semua bahawa besar dan kecil semuanya dalam penjagaan dan tilikan Tuhan. Dengan jalan demikian akan tercapailah oleh manusia bahagia dan kemenangan.

Wahai seluruh manusia yang cinta pada tanah airnya, yang ingin supaya bangsanya maju dan tanah airnya mulia! Pakailah kepercayaan, supaya tercapai kemuliaan yang diingini. Kalau tuan-tuan merasai lemah untuk memperbaiki otak angkatan yang sekarang, sebab telah terlalu rosak, perbaikilah otak angkatan yang akan datang, iaitu pemuda-pemuda.

Tidak ada kerugian suatu umat yang percaya bahawa manusia ini ada yang menjadikan. Tetapi kepercayaan, membangkitkan hati untuk mempertinggikan budi pekerti, memperhalus kesopanan dan menjauhkan diri dari perangai yang rendah, menurut ukuran tinggi rendah kepercayaan itu. Kalau tidak ada kepercayaan, hidup tidak ada harganya lagi. Adalah manusia hidup laksana di malam yang gelap, tidak ada harapan menunggu kedatangan fajar, batin pun lemah, kegiatan hilang.

Iman adalah sumber kekuatan, hati sumber keindahan alam pada penglihatan mata. Ian menyebabkan hidup mempunyai maksud dan tujuan, sehingga timbullah minat mencapai maksud dan mengejar rujuan itu. Iman menimbulkan cita-cita untuk beroleh ganjaran dan pahala di atas pekerjaan yang dikerjakan. Tidak beriman kepada hidup tidak punya pendirian, dan berlaku sewenang-wenang kepada sesama manusia.

Ketahuilah, bahawa nafsu pantang kerendahan, dan pantang kekurangan, kalau tidak ada iman yang menghambat langkah dan jalannya, celakalah dia. Iman membuat orang merasa bahawa diri dan alam ada yang mengatur. Ada yang mengintip dan ada yang memperhatikan, yang berkuasa menurunkan bahagia dan bencana kepada manusia. Iman membuat orang percaya pada kehidupan sesudah kehidupan yang sekarang.

Kepercayaan inilah yang menghambat manusia dari aniaya, khizit, khianat, loba, tamak, menganiaya yang lemah, yang cerdik menjual bodoh. Kepercayaan ini pula yang membela kebenaran samnpai tegak dengan teguhnya.

Kalau ada orang mengaku beriman, padahal masih ada dalam dirinya keinginan jahat, tanda imannya baru hingga pengakuan. Alangkah mudahnya mengaku dan alangkah sukarnya melakukan?

Ada yang berkata: Jika maksud agama mendidik manusia berperangai baik, sedang saya telah berperangai baik, tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganiaya, apa guna saya beragama lagi?

Itulah orang yang ingin lari dari agama, tetapi tak dapat melepaskan ikatan agama dari dirinya. Sebab, ajaran manakah yang lebih dahulu dari agama yang menerangkan bahawa mengambil hak milik orang lain dinamai mencuri? Siapakah yang mengatakan merampas hak milik orang lain menganiaya?

Apakah salahnya kalau orang yang menjadikan lelaki dan perempuan sama-sama mempunyai alat buat bersetubuh?

Apakah salahnya menganiaya?

Bukankah manusia ada yang kuat dan ada yang lemah?

Kalau semuanya itu salah, siapakah yang mengatakan salah?

Dijawab:

Kamanusiaan!

Kalau itu yang dikatakan kemanusiaan, apakah bezanya dengan agama? Apakah yang memberatkan tuan menamainya agama.

Bukan fanatik kalau kita katakan bahawa dunia yang telah morat-marit ini akan kembali aman dan sejahtera, jika iman dihidupkan.

Agamalah pedoman bahagia diri dan bahagia masyarakat, menegakkan pergaulan hidup atas perdamaian dan kecintaan. Iaitu agama yang tidak tercampur dengan khurafat dan bidaah manusia, untuk mencapai bahagia dunia dan ahirat.

TASAWWUF MODEN FASAL 14 : INAYAH ILAHI (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Pada keterang-kererangan yang lalu pembaca telah tahu bahawa seluruh tumbuh-tumbuhan dan makhluk yang bernyawa tersusun daripada makhluk yang hidup. Yang bila dikumpulkan agak 100 ribu banyaknya belum akan sebesar jarum. Ia kemudian tersusun menjadi buah, menjadi daun, tulang, daging dan seterusnya, dipatrikan oleh zat-zat kimia yang mengandung empat unsur, iaitu:
  1. Oksigen.
  2. Hidrogen.
  3. Nitrogen.
  4. Karbonium.

Oksigen, gas yang bole membakar walau benda yang dingin sekalipun.

Hidrogen, gas yang lunak juga sebagai oksigen, tetapi lebih ringan. Setengah dari khasiatnya, jika dia tercampur dengan oksigen dapat menghasilkan air. Air di lautan, di daratan dan di awan, semuanya tersusun daripada oksigen dan hidrogen.

Nitrogen, gas lunak seperti oksigen juga tetapi jaauh berbeza dari oksigen dan hidrogen. Kalau nitrogen berkumpul dengan oksigen, menghasilkan zat kental yang keras pengaruhnya, setengah daripada ialah nitrit iaitu air perak yang boleh menarik perak dan barang-barang logam dan boleh pula membunuh yang bernyawa dan tumbuh-tumbuhan.

Kalau bersatu oksigen dan hidrogen pada pertemuan mula-mula timbullah air saja. Kalau beratus oksigen dan karbonium timbullah suatu gas yang mengandung racun. Jika bersatu pula oksigen dengan nitrogen, timbullah zat cair yang boleh memakan barang yang dikenainya. Jika bersatu hidrogen dengan karbonium timbul gas yang boleh membakar. Kalau berkumpul sekali keempatnya, timbullah suatu zat yang tersusun rapi tidak boleh mengenai kehidupan, kebanyakan membahayakan bagi kehidupan.

Kita tidak ahli kimia, sebab itu cukup sedikit saja keterangan bagaimana khasiat zat mempertalikan di antara segala benda dalam alam ini. Sekarang timbul pertanyaan: Siapakah agaknya yang sanggup membuat suatu aturan atau membuat khasiat yang lain dari begitu?

Mengapa jika 'ini' dan 'itu' bercampur menghasilkan air? Zat 'a' dengan zat 'b' bercampur menghasil air keras? Siapakah yang sanggup di antara ahli-ahli itu membuat aturan lain, supaya timbul suatu zat yang berlain dari khasiat yang terjadi sejak percampuran itu?

Siapakah yang memberi kekuatan kepada benda kecil itu? Sehingga pada tumbuh-tumbuhan dia menjadikan tumbuh-tumbuhan? Pada ikan menjadikan ikan? Burung menjadikan burung? Manusia menjadikan manusia? Mengapa benda yang menciptakan manusia tidak menimbulkan buah kayu? Padahal zat itupada asalnya hanya satu saja, serupa yang ada pada ikan dengan yang ada pada manusia.

Kalau oksigen itu ada di dalam udara, mengapa udara tidak membakar manusia? Kalau sekiranya oksigen yang ada dalam tubuh manusia jadi air, mengapa sepertiga tubuh itu tidak pernah jadi air? Menapa oksigen badan tidak bercampur dengan nitrogen sehingga dia menjadi suatu barang cair yang boleh menelan tubuh?

Apakah hal yang sangat ganjil dan ajaib itu terjadi dengan tiba-tiba? Adakah peraturan yang dijalaninya dan penjagaan yang mengatur jalannya? Kalau asal benda kecil yang diteropong oleh ahli-ahli itu hendak kembang dalam badan dan mengalirkan hidup kepada yang lain, sehingga badan jadi daging semua tidak bertulang, apakah salahnya? Kalau telingamu terjadi dari buah durian, tulangmu terjadi dari tulang gajah dan matamu dari buah epal, siapakah yang melarang?

Semuanya tidak boleh jadi sebab ada yang melarangnya. Orang yang rasional berfikir bebas, yang masih bingung belumlah dapat menamai, tetapi yang keras kepala sudah dapat menamainya, iaitu 'kebetulan', sudah demikian adanya. Tetapi yang insaf, yang benar-benar bebas berfikir, tidak dapat tidak tentu akan mengakui bahawa memang ada yang mengatur semuanya itu. Kalau dia juga mahu mengaku tandanya dia tidak rasional. Tidak bebas berfikir.

Segala perjalanan itu ialah dengan Inayat Allah>

1. Inayat Ilahi.

Orang yang memeluk agama ada juga yang ragu. Mereka mengatakan Allah hanya berkuasa mengatur barang yang besar saja. Mengatur bumi, langit, bintang-bintang dan alam besar seisinya. Adapun yang kecil tidak diatur oleh Allah.

Kalau Inayat Ilahi itu hanya mengatur yang besar-besar saja seperti persangkaan mereka tentu akan kacau alam ini, sebab mengatur hidup terserah saja kepada kehendak benda kecil itu.

Tentu akan terjadi seseorang yang berniat menanam padi, lalang yang tumbuh, seseorang mengandung akan mengharapkan seorang manusia, kiranya lahir anak buaya atau kerbau hendak mengendarai kuda, kuda itu kebetulan jadi katak, telinganya yang sebelah terjadi dari telinga keldai, kakinya kaki harimau, perutnya perut manusia, dan mulutnya mulat babi. Sebab asal benda hanya satu saja. Kalau tak ada yang mengatur dan mengurus perjalanan aturannya, tentulah kacau. Sedangkan manusia 'binatang' yang besar tidak boleh mengatur diri sendiri apalagi binatang atau benda yang sangat kecil itu.

Menurut Charles Darwin, alam ini berjalan menurut satu aturan saja iaitu aturan "attathawwur wal irtiqa'a" (naik dan maju). Sebab itu sebelum ada jenis gajah yang seperti sekarang, telah ada lebih dahulu sejenis gajah di zaman purbakala yang bernama mammuth, yang ditakdirkan kejadiannya sesuai dengan hawa udara dan tanah yang ada di sekeliling hidupnya semasa itu. Gajah itu ditemukan tulang-tulang atau fosilnya di Siberia meskipun telah beribu-ribu tahun terbenam dalam lapisan air batu.

Demikian pula manusia, sebelum ada jenis manusia yang sekarang telah ada manusia purbakala yang belum berakal cukup seperti manusia sekarang dan tabiatnya lebih mirip monyet.

Aturan 'naik dan maju' itulah rupanya yang di dalam agama dinamai Sunnatullah. Jadi tidaklah dapat dijatuhkan alasan agama yang mengatakan bahawa alam ini, besar dan kecilnya, melalui satu Plan (jalan) yang tertentu di dalam takdir dan kehendak Ilahi Yang Maha Kuasa.

2. Ada Allah.

Sewaktu otak manusia jernih dan bersih, tidak bercampur kesombongan dan tidak hanya percaya kekuatan diri sendiri yang kerapkali salah itu, timbullah dlam hatinya perasaan bahawa ada yang mengatur alam ini. Pengakuan atas adanya yang mengatur alam, adalah pengakuan asli manusia. Perasaan itu mesti timbul bilamana dia memperhatikan alam seisinya.

Bertambah besar perhatiannya, bertambah terbuka hijabnya. Hijab yang tertutup adalah pada ilmu yang belum sampai, masih di tengah perjalanan. Setengah manusia yang sombong dicukupkannya saja perasaannya sehingga ilmu yang tanggung dan setengahnya pula sudah terasa di hati sanubarinya bahawa memang ada yang menjadikan alam, tetapi tidak dinyatakannya perasaannya itu lantaran kalau dia percaya dengan "Yang Menjadikan", mesti dia disebut orang beragama, sedang beragama itu menurut aturan sekarang, adalah kolot.

Memang 'ada' yang menjadikan alam. Tentang namanya itu adalah menurut perasaan sendiri-sendiri. Boleh dinamai 'Yang Menjadikan", "Yang Menyusun", "Yang Mengatur", "Yang Lebih Berkuasa". Oleh agama, nama itu disimpulkan di dalam satu perkataan ialai : ALLAH!.