Tampilkan postingan dengan label Tasawwuf Moden (Prof Dr Hamka). Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Tasawwuf Moden (Prof Dr Hamka). Tampilkan semua postingan

Sabtu, 25 Juni 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 22 : ISLAM DAN KEMAJUAN (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Tabiat manusia sentiasa suka kepada kelebihan yang ada pada dirinya sendiri, kelebihan badan kasar, keindahan atau kecantikan tubuh, dan berusaha menolak segala bahaya yang akan menimpa dirinya. Pada dirinya ada 'kekuatan'. Dengan kekuatan itulah segala yang dicita-citakan akan dicapainya dan segala yang dibenci dijauhinya. Dengan cara demikian kehidupan menusia itu mengalami kemajuan, sehingga bangsa manusia tampil ke muka dan tidak perna mundur ke belakang.

Meskipun kemajuan tidak boleh ditahan. Tetapi ada kalanya orang takut pada kemajuan itu, lalu mencuba menahan kemajuan itu, mencuba menghambat air yang hendak mengalir ke lautan. Mereka tidak memegang ubun-ubun bangsa dan mesti ikut segala aturan yang mereka buat menurut kehendak mereka. Mereka takut kalau manusia beroleh kebebasan akan terlepas dari cengkeramnya. Sebab itulah mereka perbuat bermacam aturan-aturan dan undang-undang, mengatakan bahawa orang yang mencari kebahagiaan dalam dunia adalah sesat, orang yang tertipu oleh hawa nafsu. Mereka adakan pelajaran-pelajaran zuhud, membenci dunia, padahal mereka masih hidup dlam dunia, tidak peduli akan keadaan sekelilingnya atau di dalam alam sekalian. Sehingga kelihatan tiap-tiap orang yang telah berpegang dengan agama menjadi orang bodoh, dungu, tidak teratur pakaian dan kediamannya, tersisih dalam pergaulan. Padahal bukan begitu hakikat pelajaran agama yang hanya bikinan sempit faham kepala-kepala agama sahaja.

Banyak bangsa-bangsa yang dapat pelajaran agama seperti itu hingga jatuhlah darjat mereka sampai ke kuruk tanah, lemah dan tertindas di dunia, tidak maju ke muka, tetapi surut ke belakang. Sehingga terbit persangkaan bahawa segala ibadat itu, ialah menjauhi kesenangan badan kasar. Lantaran itu kalahlah fikiran dan akal, dikalah oleh ragu-ragu dan syak wasangka, berlawan hukum agama dengan kukum kehidupan. Kepala-kepala agama memegang teguh pendirian ini tidak mahu berkisar. Tidak mahu melepaskan kuduk manusia dari pengaruh dan cengkeramannya. Sebab itu terjadilah perang di antara ilmu pengetahuan dengan agama, agama mengatakan ilmu itu kafir, sedang kaum ilmuan mengatakan agama itu kebodohan. Perang yang tidak henti-hentinya berlangsung terus, sulit didamaikan.

Islam membantah dan menentang segala teori bbuatan kepala-kepala agama itu. Dengan bukti cukup ditunjukkannya bahawa agama bukan musuh pengetahuan, bahkan agamalah penuntun ilmu menempu tujuan untuk perdamaian segala bangsa.

Allah berfirman:

Ertinya: "Katakan Muahammad, siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah Yang dikeluarkanNya untuk hambaNya, dan siapakah yang menolak rezeki yang baik-baik?" (Al-A'raf: 32).

Firman Allah swt:

Ertinya: "Ya Allah, berilah kami keselamatan di dunia dan beri pula kami keselamatan dikhirat, jauhkan kami daripada azab neraka". (Al-Baqarah: 201).

FirmanNya lagi:

Ertinya: "Dan dikatakan kepada orang-orang yang takwa" Apakah yang diturunkan Tuhanmu? Mereka menjawa b: Ialah kebaikan, iaitu untuk orang yang berbuat baik seketika di dunia dengan suatu kebaikan, dan hidup di akhirat itu adalah lebih baik lagi. Di sanalah seindah-indah tempat bagi orang yang takwa". (An-Nahl: 30).

Kerana kemajuan tidak akan tercapai dengan tiada ilmu, maka beratus ayat Quran dan beratus hadis menyerukan manusia menuntut ilmu. Apa saja macamnya, ilmu dunia dan akhirat, ilmu agama dan duniawi, ilmu alam, ilmu bintang, ilmu membuat kapal, membuat mesin, membuat kapal udara, membuat roket angkasa luar, membuat radio, membuat televisyen, membuat litrik, memperbaharui model alat perang dan seterusnya.

Semuanya dianjurkan di dalam Al-Quran, bukan dilarang. Islam tidak hanya mengajarkan ilmu-ilmu agama, seperti soal istinjak, rukun bersuci, ilmu hadis, fiqah dan sebaginya.

Doa seindah-indahnya di dalam Al-Quran dalam perkara menuntut ilmu ialah:

"Katakanlah: Ya Allah, tambahilah aku ilmu". (Thoha: 114).

TASAWWUF MODEN FASAL 21 : TERBUKA PINTU MEMAHAMKAN AGAMA (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Sebahagian pemimpin agama yang terdahulu menutup mati pintu bagi pengikut agama itu memahamkan maksud dan hikmah agama itu. Maksud mereka hanya semata-mata untuk melebihkan diri, supaya mereka saja yang dianggap alim, bijak dan pintar. Dengan itu tetaplah kekuasaan dalam tangan mereka. Orang ramai diharamkan memegang dan menyentuh, tetapi beliau sendiri halal. Orang hanya boleh membaca saja, tetapi tidak boleh memahamkan. Banyak syarat-syarat yang mesti ditempuh lebih dahulu, iaitu syarat-syarat yang tidak kepalang sukarnya. Lama-lama mereka sendiri terikat pula dengan angan-angan mereka, iaitu tidaklah faham lagi apa maksud dan isi kitab suci. Mereka hanya semata-mata menyembah tulisan, bukan kepada maksud , kepada huruf, tidak kepada tujuan. Siapa melanggar agama menurut yang mereka fahamkan disingkirkan dari agama. Jadi merekalah yang menguasai agama. Diambilnya Hak Tuhan.

Maka datanglah Quran mengkritik keras kejadian dan peraturan yang pincang ini. Satu kali menurut Al-Quran.

Ertnya: "Setengah mereka ada yang ummi, tidak mereka ketahui akan Kitab itu hanya semata-mata amani (angan-angan), tidak ada yang mereka ketahui, hanyalah menebak-nebak saja". (Al-Baqarah: 78).

Setelah itu Allah dengan terang merendahkan darjat orang yang memikul kitab suci tetapi tidak mengerti dan tidak faham maksud dan isinya.

Tuhan berfirman:

Ertinya: "Umpamanya orang yang dipikulkan kepada mereka kitab Taurat tetapi mereka tidak sanggup menanggungnya, adalah seumpama keldai yang memikul kitab-kitab jua layaknya. Amatlah buruknya prumpamaan kaum yang mendustakan ayat Allah, dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya". (Al-Juma'ah: 5).

Amani, yang diertikan dengan angan angan-angan itu, ertinya menurut tafsir ialah semata-mata pandai membaca, tidak memahamkan isinya. Seprti seorang seorang qari membaca Quran dengan suara merdu dan mendayu-dayu, kena makhraj dan tajwidnya, tetapi fahamnya kosong. Dengan sendirinya mereka hanya menurut kira-kira saja, fahamnya tidak berdiri pada yang betul, tidak beralasan. Mengerjakan suatu perbuatan yang mereka sangka mendatangkan kesayangan Allah, tetapi tak disukai Allah. Mereka perbuat suatu yang mereka sangka ibadat, tetapi perbuatan bida'ah. Pada suatu masa mereka bertegang urat-leher mempertahankan pendirian tetapi tidak ada bukti, sehingga main takwil-takwil saja.

"Celakalah (wailun) bagi orang yang menyuratkan kitab dengan tangan mereka sendiri, kemudian mereeka katakan bahawa buatan tangan sendiri itu dari Allah, kehendak mereka hanyalah supaya pekerjaan itu mereka hargai dengan harga yang sedikit". (Al-Baqarah: 79).

Orang yang dimisalkan Tuhan dengan keldai memikul kitab-kitab adalah orang yang tidak tahu mahal atau murahnya isi kitab Taurat yang mereka pikul itu. Memang jika Allah membuat misal, cocok dan lekas masuk akal. Cuba perhatikan keldai, disuruh memikul rumput, bila sampai di tempat perhentian dihempaskannya dirinya dan dihempaskannya pula rumput yang dipikulnya itu lantaran berat. Setelah itu suruh lagi dia memikul padi, bila sampai di tempat perhentian, padi itu akan dihempaskannya pula seperti menghempaskan rumput, kerana dia tidak tahu buah padi yang akan gugur. Dia tidak tahu perbezaan harga padi dengan rumput. Orang yang bersifat seperti keldai itu cuma soraknya yang keras, tetapi darjat akalnya tidak mencapai bagaimana mahal barang yang terpikul di atas belakangnya. Sejak dari nenek moyangnya dia telah teradat disuruh memikul, apa isi, bagaimana maksud dan ke mana tujuan yang dipikulnya dia tidak faham, tidak mengerti. Keldai memikul kitab dengan keringat payah pemimpin agama itu demikian pula layaknya. Oleh kerana bodoh dan tidak tahu kebodohan diri, kitabkitab yang bernilai tinggi itu telah memberikan kerugian diri. Tidak menghasilkan ilmu, tetapi menghasilkan keberatan.

Dengan segala kritik yang bertubi-tubi dalam Quran itu, dituruti oleh berpuluh, bahkan beratus ayat-ayat yang menghasung berfikir, menggerakan hati supaya mempergunakan akal, menyuruh supaya mata digunakan melihat dan menilik, telinga supaya mendengar dan menimbang, hati supaya merasa dan tangan buat memeriksa, yang kalau segalanya itu tidak dihiraukan sama darjat dengan binatang. Dengan segalanya itu nyatalah bahawa Quran, Islam sangat menyeru supaya orang berfaham dan berilmu. Islam benci kalau Quran hanya dibaca dan dilagukan saja, tidak dikorek rahsia yang tersimpan di dalamnya. Quran tidak membezakan tingkatan orang bawah dengan tingkatan pemangku agama dalam Islam, tidak ada pendita-penditaan. Semua orang boleh jadi pendita, semua orang boleh memperhatikan Quran dan Hadis Nabi. Itulah sebabnya kalau bukan kerana kebodohan, sukar orang Islam yang dapat tertarik oleh agama lain, sebab mereka lekas faham akan agamanya.

Tetapi jangan dilupakan, bahawa pada masa yang akhir ini penyakit demikian tela pindah ke dalam kaum Muslimin. Kaum ulama mencuba pula hendak mengangkangi (menodai) dan hendak menjual belikan agama dengan harga yang sedikit, orang ramai hendak dijual tegak-tegak, tidak harus memahamkan agama kalau tidak mempunyai syarat-syarat yang jelas. Quran tidak boleh ditafsirkan kalau tidak memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Ikut saja kata orang yang telah terdahulu, habis perkara. Tetapi mudah-mudahan sebahagian umat pada masa ini telah insaf. Faham demikian telah mulai dibasmi. Jangan mengikuti saja pada pendapat orang yang telah menyelidiki. Kerana buah penyelidikan mereka berbeza-beza menurut kadar pengertian masing-masing dan menurut tempat dan zamannya. Tetpi berusahalah supaya memahamkan Quran dengan mudah, tahu akan hadis dan hafal maksudnya, sedang mereka baru merentas jalan. Kononlah orang yang datang kemudian. Quran telah tercetak, tidak tertulis dengan tangan lagi, dan faham ulama-ulama ikutan yang telah terdahulu yang beribu-ribu banyaknya sudah dapat pula dijadikan suluh benderang dan perbandingan di dalam mencari maksud Quran. Tentu lebih mudah orang sekarang memahamkan daripada orang dahulu. Kecuali kalau diikuti kefanatikan orang agama lain itu. Ulama-ulama mengatakan tidak boleh menafsirkan Quran kalau tidak lengkap alatnya. Hilangkan kata-kata tidak itu. Ertinya Quran boleh ditafsirkan kalau cukup alatnya. Maka cukupkanlah alat itu

TASAWWUF MODEN FASAL 20 : AGAMA DFAN PENGETAHUAN (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

Agama banyak ragamnya. Setengah agama hanya semata-mata ibadat dan upacara yang dilakukan di dalam waktu yang tentu dengan beberapa rukun dan syarat yang tertentu.

Dalam pada itu ilmu pengetahuan manusia bertambah naik pula, yang terbit dari penyelidikan akal dan fikiran yang tiada mahu puas. Jika berdiri suatu barang di hadapan pancaindera, timbullah pertanyaan: Apakah? Berapakah? Segala barang yang berdiri itu tidak peduli, walau agama atau keadaan, baik langit atau bumi, atau zat yang sekecil-kecilnya, semua jadi bahan pertanyaan: Apakah? Berapakah? Apa sebabnya begitu, dari mana asalnya? Kalau dibuat begini apakah hasilnya, dan kalau tidak begini apakah salahnya?

Lantaran itu, maka tiap-tiap agama selalu terbentur dengan ilmu pengetahuan,. Sehingga dalam masa yang tidak lama, tentu segala agama, upacara dan pujaan yang tidak sesuai dengan ilmu, tidak akan kuat urat tunggangnya lagi.

Penganjur-penganjur dari kepala-kepala agama, dengan setia dan teguh membela upacara agama, atau upacara yang disangkanya agama. Mereka mempertahankan dengan segala usaha dan tenaga. Dalam pada itu, manusia bertambah maju dengan ilmunya, bertambah tingkat perjalanan akalnya. Sehingga peperangan agama dengan ilmu kian lama kian hebat dan manusia yang setia kepada ilmu bertambah jauh trpisah dari agama dan manusia yang cinta kepada agama bertambah jauh terpisah dari ilmu.

Tetapi selain dari pengetahuan membongkar segala agama yang karut-marut, juga menimbulkan alasan yang kuat bahawa Yang Maha Kuasa tas alam itu memang ada, memang Wujud dan Tunggal. Sebab itu teranglah bahawa segala agama yang benar, mesti sesuai dengan ilmu yang benar, dan agama yang tidak benar, yang hanya terbit dari buah fikiran manusia yang karut, mesti tersingkir dan hapus dari muka bumi ini.

Akal sudah tahu bahawa banyak benar agama yang memaksa orang mesti percaya saja, tidak boleh membantah, padahal ilmu menentang paksaan, sebab ilmu tidak mengakui barang sesuatu sebelum dicuba dialami dan dibuktikan.

Tetapi agama yang benar, kalau belum diakui oleh ilmu, tandanya ilmu itu belum benar pula. Sebab sudah banyak bukti-bukti yang menunjukkan bahawa teori ilmu kerapkali telah menetapkan sesuatu hukum batas suatu perkara, kemudian datang teori lain membatalkan teori yang prtama. Dari ilmu yang benar timbullah percaya. Ilmu bersarang di otak dan percaya bersarang di hati. Agama ialah persetujuan perasaan hati dengan pendapat otak. Kalau belum bersetuju tandanya ilmu belum cukup perjalanannya.

Agama Islam tidak mengaku taklid buta, tetapi mengajak akal supaya bekrja menyelidiki hingga akhirnya. Agama Islam bersorak memanggil akal supaya bekerja, jangan lalai dan jangan lengah. Sebab tiap-tiap terbuka suatu pintu dari keraguan itu, terpancarlah cahaya dan hilanglah waham. Islam tidak membiarkan orang kena perkataan nina-bobok:

"Tidurlah dirumah, tak usah difikirkan panjang sebab jalan sempit, tujuan jauh, perbekalan sedikit".

Islam menyerukan supaya terlepas dari waham, syak dan ikatan was-was. Manusia diciptakan Tuhan bukan menjadi pak turut atau mengikut dengan membabi buta sebab pak turut itu turut atau mengikut dengan membabi buta sebab pak turut itu ialah binatang ternak. Manusia hidup supaya mendapat pengajaran dan ilmu dari perbandingan, dari alam, dari segala kejadian yang mengalir di dalam kehidupan yang laksana air hilir layaknya.

Umat Islam, disuruh menjadi penyaring, jangan 'nrimo wae', terima saja, laksana muara air yang dilalui ikan, buaya, kapal dan dilalui bangkai. Tetapi memilih mana yang baik, memperbaiki mana yang patut dan melemparkan barang yang tidak baik.

Firman Allah di dalam Al-Quran:

Ertinya: "Berilah kabar gembira bagi hambaKu yang suka mendengar kata dan memilih mana yang baik". (Az-Zumar: 17-18).

Menyamakan darjat manusia dengan Tuhan, tidak boleh dalam Islam, sehingga seorang manusia lantaran ada kebaikannya pada suatu masa, diagungkan, dijunjung lebih daripada mesti, dianggap tidak pernah salah, selalu benar, suci dari manusia yang lain. Sedangkan Rasulullah sendiri, kerapkali berkata bahawa dia hanya manusia biasa seperti kita ini, kelebihannya hanya kerana dia terpilih menjadi Rasul. Seketika Rasulullah meninggal dunia, Abu Bakar menegaskan dengan katanya:

"Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah meninggal, dan barangsiapa yang menyembah Allah, Alla sentiasa hidup tidak akan mati".

Islam pun memalingkan hati dari persangkaan yang berlebihan atas nenek moyang, menyangka bahawa segala yang dari nenek moyang itu benar semuanya, sehingga tak mahu mengubah dengan yang lebih disetujui akal. Islam dengan keras mengkritik orang yang berkata:

"Demikian yang kami terima dari nenek moyang kami!"

Dalam Al-Quran perkataan yang demikian dijawab dengan kritik keras:

"Bagaimana kalau nenek-moyangnya itu tidak berakal dan tidak beroleh petunjuk?"

Antara orang yang dahulu tidak berubah dengan orang yang kemudian. Antara otak lama tidak berbeza dengan otak baru. Setengah pekrjaan diperdapat oleh orang dahulu, pengalaman mereka dijadikan pengajaran oleh yang datang kemudian. Orang dahulu, dan orang kemudian keduanya sama-sama sanggup beroleh rahmat dan bahagia kalau mereka sama-sama jujur. Boleh ditimpa malapetaka kalau memilih jalan salah. Pada pemeluk agama lain berkeras mempertahankan pupsaka nenek moyang itu. Mereka menutup pintu akal, tumpulkan perjalanan ilmu. Itulah sebabnya selalu terjadi pertentangan di antara ahli ilmu dengan ahli agama.

Tiang Islam dan tempat tegaknya yang teguh ialah dua tonggak, iaitu kemerdekaan berfikir dan kemerdekaan kemahuan (Hurriyatul fikri, wa hurriyatul iradah). Kedua syarat inilah yang utama dalam alam ini, terutama di dalam abad kemajuan ini.

Dunia Eropah sekian lama terkongkong di dalam kefanikan kepala-kepala agama. Barangsiapa mengeluarkan pendapat baru, yang tidak ada dalam njil, dituduhlah dia kafir, barangsiapa yang mengeluarkan fikiran ganjil, menurut pendita, diusirlah dia dari gereja. Kemudian datanglah zaman yang bernama zaman kebangkitan zaman renaissance, di pertengahan abad ke 16 waktu Eropah membuka selimutnya, memerdekakan kemahuannya, memerdekakan pendapat mereka. Padahal sebelum itu, tanah Arab dan ke seluruh dunia 'bahawa kebodohan dan kedunguan, akal dan fikiran yang suntuk adalah perhambaan yang lebih kejam dari segala macam perhambaan.

Tidaklah hairan, jika sebelum bangsa Eropah bangun dari tidurnya, bermacam-macam ilmu pengetahuan yang terbit dari akal yang masih bersih telah timbul dari dunia Islam. Kemudiannya, bangsa Eropah menjadi sumber segala pengetahuan, pendapat akal dan fikiran. Sementara dunia Islam tinggal dalam kebingungan dan meng'amin' saja. Ketika fikiran dan akal di Eropah, telah merdeka, kaum Muslimin menderita penyakit memperkosa akal dan fikiran itu.

TASAWWUF MODEN FASAL 19 : TIGA SIFAT YANG TIMBUL KERANA BERAGAMA (DARI BAB 2 BAHAGIA DAN AGAMA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA

1. Malu.

Malu sangat besar pengaruhnya dalam mengatur pergaulan hidup. Malu itulah yang membuat orang berakal enggan mengerjakan perbuatan jahat. Sebelum orang mempergunakan undang-undang lebih dahulu orang telah dilindungi oleh hukum malu yang telah melekat di dalam budi pekerti. Is merasa malu namanya akan menjadi buah mulut orang. Merasa malu kepercayaan orang akan hilang.

Rasa malu tidak akan hidup di dalam budi pekerti seorang manusia, kalau dia tidak mempunyai kehormatan diri (syaraf). Rasa kehormatan adalah pusat kebahagiaan bersama dan tenteramnya perhubungan. Pokok teguh memegang janji, teguh memegang kepercayaan. Dari malu timbul perasaan mempertahankan diri, mempertahankan bangsa, negeri dan keyakinan. Menimbulkan kemajuan pesat, berkejar-kejar berebut mencari kehormatan dan kemuliaan dalam lapangan perjuangan hidup. Tidak mahu kalah, malu tertinggal, malu tercicir, sehingga menghasilkan kebahagiaan bersama-sama juga, malu menghasilkan kekayaan, ilmu dan fikiran baru. Malu menyebabkan orang tidak mahu mundur dalam perjuangan.

Jika suatu kaum tak punya rasa malu, sebab kurangnya pendidikan terhadap anak bangsanya itu, maka bukanlah budi yang lebih kuat dan teguh menghubungkan mereka tetapi hukum atau bukuman kejam. Kaum atau masyarakat itu akan tertinggal dari masyarakat lain, namanya tidak tersebut di dalam Safhatul Wujud.

Agama ditaklifkan (diperintahkan) kepada orang yang berakal dan orang yang baligh (sampai umur), sebab dia mengajarkan rasa malu.

Orang tidak berakal, atau orang gila, tidak kena memerintah memegang agama. Bertelanjang bulat di hadapan orang ramai, tidak kena hukum, kerana dia tak bermalu.

Anak kecil, belum sanggup menahan diri dari kehendak darahnya masih muda itu. Setelah dia besar dan sampai umur baru timbul dalam hatinya sifat malu. Waktu itulah terletak di atas bahunya seruan agama. Sebab itu dari kecil harus dipupuk rasa malu.

Binatang tidak bermalu dijadikan pengangkut beban.

Seribu ekor kambing tidak malu digembalakan oleh seorang anak gembala. Binatang-binatang tidak mendapat perintah dan larangan, tidak diikat oleh peraturan agama dan hukum.

Sifat malu membawa orang mengharungi lautan besar, memasuki rimba belantara, ditimpa susah dan kepayahan untuk mencapai keutamaan. Sifat malu menyebabkan manusia sanggup menahan nafsu, mengekang dirinya dan menempuh halangan lantaran menghindarkan diri dari perangai durjana. Di a juga yang menyebabkan orang tidak redha menerima kebodohan dan kedunguan.

2. Amanat (Boleh Dipercayai).

Boleh dipercaya atau lurus adalah tiang kedua dari masyarakat yang utama. Sebab kalau bernama 'hidup', tidaklah manusia boleh hidup sendiri. Dia mesti mempertalikan hidupnya dengan hidup orang lain.

Herbert Spencer berkata, bahawasanya hidup itu ialah kelancaran hubungan manusia dengan manusia lainnya. Sedang nasi sesuap, tak boleh masuk mulut, kalau tidak beribu bahkan berjuta orang yang mengerjakan, dia di tanam oleh orang tani yang beribu banyaknya, ditumbuk oleh mesin penumbuk padi yang dibuat di sebuah pabrik, yang mempunyai buruh beribu-ribu orang, nasi ditanak di dalam sebuah periuk keluaran kilang Jepun. Kita makan dengan sambal, garam, lada dan seterusnya. Semua dikerjakan oleh berjuta-juta orang.

Supaya masyarakat teratur, perlu berdiri pemerintahan. Segala mazhab dan firqah dalam Islam mengakui perlunya pemerintahan, baik Ahli Sunnah Wal Jamaah, atau Syiah yang memestikan di tangan keturunan Ali. Demikian juga kaum Muktazilah, dan seterusnya. Hanya Khawarij yang mengatakan pemerintahan itu di tangan Allah saja. Tetapi setelah pergaulan bertambah maju, terpaksa mereka mengangkat seorang 'Imam' untuk mengatur pemerintahan. Di zaman kemajuan ini pun demikian pula, pemerintahan berbentuk kerajaan, atau republik, atau raja yang diikat oleh undang-undang dasar, atau majlis perwakilan rakyat, namun pemerintahan mesti ada.

Pemerintahan adalah badan yang mempunyai kaki, tangan, kepala, perut dan tulang, urat, darah dan daging. Ada yang jadi polis menjaga keamanan dalam negeri. Ada tentera menjaga serangan dari luar. Ada yang jadi ahli siasat membela keadilan dan kebenaran. Jadi pejabat memungut pajak dan cukai. Tidak lebih mulia atap dari tonggak. Tidak lebih utama dinding dari lantai, itulah yang menjadi rumah.

Apakah yang menghubungkan semuanya?

Di manakah asas tempatnya tegak?

Itulah dia amanat, dapat dipercayai, lurus. Negara hanya dapat tegak di atas amanat.

Pejabat-pejabat akan langsung pekerjaannya dan beruntung pikulannya jika memegang amanat. Bagaimanakah akan aman negeri, kalau seorang menteri, yang memegang wang pemerintahan berjuta-juta tiap hari sedangkan gajinya kecil, kalau tidak rasa tanggungjawab dan amanat?

Kalau amanat telah runtuh,runtuhlah pemerintahan, ertinya runtuhah masyarakat dan umat. Huru hara terjadi setiap hari, pembunuhan, penggelapan terjadi tiap saat. Sehingga akhir kelaknya pemerintah itu akan runtuh, digantikan oleh pemerintah lain yang lebih dapat memegang amaat. Tidaklah boleh satu pemerintahan berdiri jika tidak ada persatua, dan persatuan itu tidak akan tercipta kalau tidak dengan amanat.

Tidaklah kepada pergaulan tiap hari di antara diri dengan diri, di antara satu rumahtangga dengan lain rumahtangga. Jika ada kejujuran dan kepercayaan kita sesama manusia, kita tidak akan ragu-ragu meninggalkan rumah, sebab isteri boleh dipercaya, teman dekat rumah boleh pula dipercaya, anak-anak yang dilahirkan isteri kita, kita yakin memang anak kita sendiri. Tidak ragu-ragu meninggalkan barang-barang, kerana kita percaya tidaklah akan ada orang yang mencurinya.

Jika hilang amanat dari umat - Nau'zubillahi minha - alamat umat itu akan condong ke lurah, akan jatuh dan hilang namanya, menjadi umat yang fakir dan miskin, ditimpa oleh bahaya bencana, penyakit yang tak berkeputusan, penyakit lahir dan batin.

3. Siddiq, atau Benar:

Manusia banyak hajatnya, orang miskin dan kaya sekalipun mulia atau hina, hajat dan keperluannya sama banyaknya. Segala hajat itu tidak tercapai semuanya, hanya sebagian. Manusia diciptakan di muka bumi, datang dari alam ghaib yang tidak diketahuinya menuju ke alam yang belum difahaminya. Mula-mula dia tegak di dunia, laksana orang bingung, laksana ayam yang dikisarkan kandangnya di malam gelap. Tidak tahu sama sekali ke mana dia akan dibawa.

Mulai datang kedunia, harus berjuang menuntut kehidupan, berebut keperluan makan minum, pakaian dan tempat diam. Alat yang ada padanya hanya alat-alat yang lima iaitu penglihatan mata, pendengaran, penciuman hidung, perasaan lidah dan perasaan kulit, yang dinamai 'pancaindera yang lima'.

Selain dari yang lima itu tidak ada, tidak diberi ilmu, kepandaian, pakaian dan lain-lain. Segar-bugar, bertelanjang bulat dan menangis.

Maka bertambah lama hidupnya di dunia, bertambah perlu mendapat pertolongan dari manusia yang lain, baik pertolongan ilmu atau pertolongan akal. Baru sempurna keperluan hidupnya. Semuanya tidak pula akan tercapai, kalau pertolongan itu tidak diterima dari sumber yang benar. Langkahnya akan sesat jika dia bertanya kepada temannya jalan ke kanan ditunjukkan ke kiri, jika dia meminta ubat diberi penyakit.

Sebab itu kebenaran inilah tiang ketiga dari masyarakat.

Solon, ahli pemerintahan bangsa Yahudi memberikan hukuman bunuh kepada siapa yang berdusta walaupun kecil dustanya.

Ketiga sifat itulahyang timbul lantaran agama.
  1. Malu.
  2. Amanat.
  3. Siddiq atau kebenaran.