Tampilkan postingan dengan label Kitab Aqidah Mustaqim. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kitab Aqidah Mustaqim. Tampilkan semua postingan

Kamis, 18 September 2014

KITAB AQIDAH MUSTAQIM (SIRI 2) : HUKUM AKAL



Adalah hukum itu ertinya menetapkan atau menafikan sesuatu perkara.Terbahagi hukum itu kepada tiga bahagian iaitu:-
1)Hukum syarak. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu dengan berpandukan syarak iaitu Al Quran dan hadis.Contohnya menetapkan wajib solat lima waktu , haram minum arak dan lain – lain.
2)Hukum adat. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu dengan berpandukan percubaan dan pemerhatian.Contohnya menetapkan api itu membakar , pisau dapat memutuskan , makanan dapat mengenyangkan dan sebagainya.Kesemua yang tersebut adalah berdasarkan pemerhatian dan percubaan.
3)Hukum akal. Iaitu menetapkan atau menafikan sesuatu tanpa berpandukan syarak dan tanpa membuat pemerhatian terlebih dahulu sebaliknya hanya berpandukan akal.Contohnya, menghukumkan wajib bagi sesuatu itu salah satu daripada dua perkara samada ia bergerak atau diam. Mengetahui hukum akal sangat penting di dalam mempelajari ilmu tauhid kerana perbahasan ilmu tauhid banyak berkisar kepada Zat dan Sifat Allah yang mana tidak dapat kita menghukumkan Zat dan Sifat Allah itu melainkan dengan akal.Jika dipersoalkan bukankah Zat dan Sifat Allah telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis sehingga tidak lagi berhajat kepada akal bagi menetapkannya?Maka kita jawab, dengan mengatakan hajat manusia kepada akal di dalam menetapkan sifat – sifat Allah adalah sentiasa tetap berlaku walaupun sifat – sifat Allah telah pun dinyatakan di dalam Al Quran dan hadis kerana manusia tidak mampu untuk membenarkan apa yang dinyatakan oleh Al Quran dan hadis itu jika tidak dengan menggunakan akal.Malahan Al Quran itu sebagai mukjizat yang maknawi tidak akan terserlah kemukjizatannya jika tidak dihalusi melalui pengamatan dan penelitian akal.Banyak ayat – ayat Al Quran yang menyeru manusia agar menggunakan akal terutama di dalam mencari kebenaran.Misalnya firman Allah: ﻔﺎﻋﺘﺑﺭﻮﺍﻳﺎﺃﻮﻟﻰﺍﻷﻟﺑﺎﺐ
Ertinya :maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) Wahai orang-orang Yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. Di dalam sepotong hadis
Rasulullah saw bersabda:
ٱلدين هوالعقل لا دين لمن لا عقل له
Ertinya : Agama itu adalah akal , tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.
Para ulama telah berselisih pendapat di dalam menentukan peranan akal di dalam agama.Menurut Mazhab Asy’ariah , semua hukum agama baik yang berupa soal – soal keimanan dan soal – soal syariat dibinakan atas landasan syarak iaitu Al Quran dan hadis tetapi syaratnya adalah akal.Menurut Mazhab Maturidiah yang dianuti oleh kebanyakan pengikut – pengikut Hanafi terdapat perincian yang mana mereka berpegang bahawa di dalam soal – soal ketuhanan akal berperanan sebagai penetap hukum kerana soal – soal ketuhanan adalah soal yang nyata bagi semua manusia yang berakal dan syarak yakni Al Quran dan hadis hanya sanya datang untuk menguatkan apa yang telah ditetapkan oleh akal.Adapun di dalam perkara lain seperti soal – soal syariat (hukum – hakam) dan sam’iyat (perkara – perkara ghaib) maka tidak dapat tiada ianya dibinakan atas landasan Al Quran dan hadis semata – mata. Dengan itu dapat dibuat kesimpulan bahawa samada akal sebagai syarat atau sebagai penetap hukum kedua - dua mazhab tersebut ijmak bahawa akal adalah memainkan peranan yang penting di dalam soal – soal ketuhanan seperti yang dibahaskan di dalam ilmu tauhid.

KITAB AQIDAH MUSTAQIM (SIRI 1) : MABADI ILMU TAUHID

Perkataan mabadi adalah diambil daripada Bahasa Arab iaitu kata jamak daripada kalimah mabda yang bererti ‘pendahuluan.’Oleh itu mabadi ilmu tauhid bererti pendahuluan ilmu tauhid.Mustahaklah sebelum seseorang itu masuk mempelajari ilmu tauhid agar mengetahui mabadi atau pendahuluannya yang terhimpun di dalam sepuluh perkara iaitu:-
1)Takrif ilmu tauhid Iaitu ilmu yang membahaskan ketetapan akidah(kepercayaan) melalui dalil-dalil (bukti-bukti) yang yakin.
2)Tempat hantaran (sasaran perbincangan) Kepada empat tempat iaitu:-
i)Zat dan sifat Allah.
ii)Zat dan sifat rasul
iii)Alam dan sifatnya
iv)Perkara-perkara sami’iyat (perkara-perkara ghaib yang didengar daripada perkhabaran Al Quran dan hadis)
3)Faedah mempelajari ilmu tauhid Faedahnya ialah dapat mengenal sifat-sifat Allah dan rasulNya dan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia di akhirat.
4)Kelebihan ilmu tauhid Ilmu yang paling mulia di antara sekelian ilmu kerana mulia tempat perbahasannya iaitu Zat Allah dan rasulNya.
5)Nisbah ilmu tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain Ilmu tauhid adalah seumpama pohon dan ilmu-ilmu yang lain itu seumpama cabang-cabangnya.
6)Ulama yang menyusun ilmu tauhid Ilmu tauhid fahaman ahli sunnah disusun berdasarkan dua mazhab yang utama iaitu Mazhab Asy’ariah dan Mazhab Maturidiah.Mazhab Asy’ariah disusun oleh Imam Abu Hasan Al Asy’ari dan Mazhab Maturidiah disusun oleh Imam Abu Mansur Al Maturidi.
7)Nama ilmu tauhid Selain daripada namanya ilmu tauhid,ia juga di gelar dengan beberapa nama lagi seperti ilmu usuluddin,ilmu kalam,ilmu sifat,ilmu aqaidul iman dan lain-lain.
8)Punca ambilan Ilmu tauhid diambil dan dikeluarkan daripada Al Quran dan hadis serta dalil akal.
9)Hukum mempelajari ilmu tauhid Wajib fardu ain atas tiap-tiap mukallaf samada lelaki atau perempuan.
10)Masalah yang dibahaskan Iaitu tentang perkara yang wajib pada akal , mustahil pada akal dan harus pada akal.