Tampilkan postingan dengan label Ayyuh al Walad. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ayyuh al Walad. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 08 September 2012

NASIHAT 14 : AMANAT IMAM AL SYIBLI RH (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Imam asy-Syibli telah berkhidmat dengan 400 orang guru.Beliau pernah berkata aku telah menela’ah 4000 hadith Rasulullah SAW,tetapi aku benar2 mengingati dan mengamalkan satu hadith ini.Aku dapati hadith ini boleh menjamin dengan izin Allah keselamatanku dan kesejahteraanku.Didalam hadith ini terkandung ilmu golongan terawal dan ilmu pengetahuan golongan terkemudian.

Hadith tersebut ialah;
اعمل لدنياك بقدر مقامك فيها واعمل لاخرتك بقدر بقاءك فيها واعمل لله بقدر حاجتك اليه واعمل للنار بقدر صبرك عليها
Mafhumnya:Beramallah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal didalamnya.Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada disana.Dan beramallah kerana Allah SWT sejauhmana engkau berhajat kepadaNya.Dan bertindaklah dengan sebarang amalan yang akan menghumbankan engkau kedalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya.

Wahai anakku! Apabila anda mengetahui hadith ini,maka sebenarnya tidak perlu lagi engkau berbangga dengan ilmu yang banyak.

NASIHAT 13 : *4 KRITERIA SEMPURNA BAGI ORANG YANG MENJALANI JALAN ALLAH SWT (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Empat kreiteria yang perlu ada bagi orang2 salik;
  1. I’tiqad yang benar yang tidak ada bid’ah didalamnya iaitu i’tiqad ahlussunnah wal jama’ah
  2. Bertaubat dengan taubat nasuha sehingga seseorang itu tidak akan kembali mengerjakan dosa yang pernah dilakukannya
  3. Minta atau mohon halal daripada semua makhluk ini sehingga anda tidak akan dituntut lagi pada hari qiamat kelak.
  4. Mendalami ilmu2 syari’ah demi melaksanakan segala perintah Allah dan mendalami serta menghayati ilmu akhiratyang menjamin keselamatanmu dengan izin Allah di akhirat nanti.

NASIHAT 12 : HAKIKAT ILMU HANYA TERCAPAI DENGAN MENGAMALKANNYA (IMAM AL GHAZALI - AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Sebahagian daripada persoalan mu kepada ku memerlukan penghayatan kerana ia adalah masalah zauqiyyah.Tetapi bila engkau telah sampai kepada hakikat halnya maka barulah engkau faham.Masalah ini tidak boleh dikupas dengan perkataan tetapi ia perlu dirasai dan diamalkan seperti manisnya sesuatu yang manis atau pahitnya sesuatu.Ia memerlukan  penghayatan bukan sekadar perkataan dan tulisan.

Jumat, 07 September 2012

NASIHAT 11 : IBADAH MESTI BERLANDASKAN SYARI’AH (IMAM AL GHAZALI - AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

NASIHAT KE 11: IBADAH MESTI BERLANDASKAN SYARI’AH

Pengetahuan yang mendalam mengenai kaedah melaksanakan ibadah yang sahih kepada Allah menjadi pati rahsia segala ilmu.Ketaatan dalam peribadatan bermakna mengikut peraturan Allah SWT dalam arahanNya dan tegahanNya yang merangkumi semua perkataan dan perbuatan.Contohnya berdosa seseorang yang berpuasa pada hari raya fitrah dan aidul adhha serta pada hari-hari tasyriq.Demikian juga berdosa bagi seseorang yang mengerjakan sholat dengan memakai pakaian curi,walaupun pada zahirnya dia telah beribadah.
Wahai anakku,hendaklah seluruh perkataan dan perbuatanmu selaras dengan peraturan syarak,kera ilmu dan amal yang menyanggahi syarak adalah sia2 sahaja.Janganlah anda tertipu dengan sebahagian amalan melampau ahli2 tasawuf,kerana sebenar2 jalan akhirat  hanyalah dengan bermujahadah,melawan nafsu dengan riadhah atau latihan bukan hanya dengan ucapan yang direka-reka.
Tanda-tanda kecelakaan seseorang ialah tidak mengawal lidahnya,tertutup hatinya dengan kelalaian dan syahwat.Cahaya ma’rifah tidak akan bersinar dan hidup dalam hati2 yang empunyanya tidak bermujahadah melawan nafsu serta leka dengan kehidupan yang sia-sia.

Rabu, 05 September 2012

NASIHAT 10 : BANGUNLAH QIYAUMULLAI (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Wahai anakku yang tercinta ! Seandainya ilmu sahaja telah memadai maka apakah perlunya seruan supaya kita bangun beribadah diwaktu malam atau penghujung malam,sebagaimana berikut:
هل من سائل ؟ هل من مستغفر ؟ هل من تائب ؟
“Adakah disana orang yang meminta sesuatu ? Adakah di sana orang yang meminta ampun ? Adakah disana orang yang bertaubat ?
Sebahagian sahabat Rasulullah SAW menceritakan tentang ketinggian peribadi Abdullah ibn Umar.Junjungan SAW  bersabda tentangnya:


نعم الرجل هو لو كان يصلي بالليل
  
Mafhumnya:Abdullah bin Umar itu baik orangnya apatah lagi apabila beliau selalu bangun sholat diwaktu malam.


Dan Rasulullah SAW pernah bersabda kepada salah seorang sahabatnya:


يا فلان لا تكثر النوم بالليل فان كثرة النوم بالليل يدع صاحبه فقيرا يوم القيامة

Mafhumnya:Ya Fulan!Janganlah engkau terlalu banyak tidur diwaktu malam kerana terlalu banyak tidur diwaktu malam itu mengakibatkan seseorang itu papa kedana di hadapan Allah pada hari qiyamat nanti.
Wahai anakku! Hendaklah engkau selalu mengingati firman Allah:


  ومن الليل فتهجد به  

 Maksudnya: Dan hendaklah engkau bangkit sholat tahajjud pada sebahagian daripada malam.(S.al-Isra` ayat 79)
وبالاسحار هم يستغفرون
   
 Maksudnya:Dan diwaktu sahur mereka sentiasa beristighfar mohon keampunan Allah.( S.az-Zariyat ayat18
Maksudnya:(Mereka yang berjaya itu ialah) orang yang selalu beristighfar pada waktu sahur.
Nabi SAW bersabda


:ثلاث اصوات يحبها الله تعالي صوت الديك وصوت الذي يقراء القران وصوت المستغفرين بالاسحار 
Mafhumnya:Tiga suara yang dicintai Allah; Suara ayam jantan yang berkokok diwaktu dinihari,suara orang yang membaca al-Quran dan suara orang yang beristighfar di waktu sahur.

Sehubungan ini Sufyan al-Thauri menyatakan bahawa Allah SWT menciptakan satu angin yang berhembus diwaktu sahur untuk membawa zikir Perkasa.


Beliau menambah lagi bahawa apabila tiba malam terdengar suara yang memanggil dibawah ’arasy:”Hendaklah kamu bangkit wahai ahli ibadat ! Lantas mereka pun bangin sholat sebanyak-banyaknya.Apabila berlalu separuh malam maka terdengar suara yang menyeru ”Hendaklah kamu bangkit wahai para qanitin ! iaitu orang-orang yang beribadah dengan bersungguh-sungguh.Lantas mereka bangkit dengan mengerjakan sholat hingga waktu sahur.Dan apabila tiba waktu sahur maka terdengar suara.”Hendaklah kamu bangkit wahai para mustaghfirin.”Lalu mereka bangkit beristighfar.Dan apabila fajar sudah menyinsing maka memanggil satu suara.”Hendaklah kamu bangkit wahai para ghafilin iaitu orang yang lalai.”Lantas mereka bangkit dari hamparan mereka seperti orang yang mati yang bangkit dari kubur mereka.
Wahai anakku tercinta ! Luqman al-Hakim berwasiat kepada anaknya:”Janganlah ayam jantan itu lebih bijak daripada anda.Ia berkokok diwaktu sahur sedangkan anda masih tidur lagi.Syair berikut digubah indah untuk menginsafkan anda wahai anakku !
لقد هتفت في جنح ليل حمامة    علي فنن وهنا واني لنائم
كذبت وبيت الله لو كنت عاشقا    لما سبقتني بالبكاء الحمائم
وازعم اني هائم ذو صبابة    لربي فلا ابكي وتبكي البهائم
  • Sesungguhnya memanggil-manggil dikegelapan malam burung merpati yang bertenggek diatas dahan kayu.Ia terus memanggil-manggil sedangkan aku asyik dalam tidurku
  • Bohong,sebenarnya aku berbohong demi Tuhan BaytuLlah,seandainya aku sememangnya asyikkan Allah sudah tentu burung tidak akan mendahuluiku menangis.
  • Aku mendakwa bahawa aku seorang pencinta yang sangat dahaga untuk bertemu kekasihnya,namun kenapa aku masih belum mampu menangis seperti menangisnya haiwan.

NASIHAT 9 :TINGKATKAN HEMAH, KAWAL NAFSU & BEKAL UNTUK AKHIRAT (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Berhemahlah untuk meningkatkan kerohanian serta anggaplah kegagalan berpunca daripada hawa nafsu yang songsang.Biarkanlah kematianmu itu hanya pada jasad kerana tempat persemadian jasad adalah didalam liang lahad.Para ahli al-kubur senantiasa menanti kedatanganmu bersama mereka,janganlah anda kesana tanpa persiapan.Saydina Abu Bakar al-Siddiq r.a. berkata:”Jasad kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung atau kandang haiwan maka fikirlah dengan mendalam tentang hakikat dirimu.Dan tentukanlah dirimu yang mana satu antara dua perumpamaan itu.Jikalau anda umpama burung yang terbang tinggi maka ia akan terbang dengan penuh kegembiraan apabila ia mendengar seruan:
يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩) وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠)
 Maksudnya: Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.(Surah al-Fajr ayat 27-30)

 Anda akan terbang tinggi sehingga hinggap di pucuk pohon-pohon syurga sebagaimana sabda Rasulullah SAW ketika meninggal sahabat nya Saad bin Mu’az:
اهتز عرش الرحمن من موت سعد بن معاذ
 Mafhumnya:Telah bergegar a’arasy Allah kerana kegembiraan ketika kematian Saad bin Mu’az.Mudah-mudahan Tuhan melindungi anda daripada menjadi seperti binatang ternak sebagaimana firmanNya:
 َ
Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. Surah al-A’raf ayat 179.


 Maka tidak mustahil anda berpindah dari alam dunia ini ke dalam jurang api neraka.Imam Hasan Basri telah diberi gelas yang berisi air sejuk lantas beliau memegangnya dan jatuh pengsan.Apabila sedar seseorang bertanya kenapa tuan pengsan.Jawab beliau tadi aku teringat angan-angan ahli neraka yang berkata kepada ahli syurga:


وَنَادَىٰٓ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ أَصۡحَـٰبَ ٱلۡجَنَّةِ أَنۡ أَفِيضُواْ عَلَيۡنَا مِنَ ٱلۡمَآءِ أَوۡ مِمَّا رَزَقَڪُمُ ٱللَّهُۚ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ

Maksudnya:Dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: ” Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang telah dirizkikan Allah kepadamu.” Mereka (penghuni surga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir, .(Surah al-A’raf ayat 50)

NASIHAT 8 : ILMU GANDINGAN AMAL (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Ilmu tanpa amal adalah sesuatu yang tidak siuman.Amal tanpa ilmu pula adalah sesuatu yang sia-sia.Ketahuilah bahawa Ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan dirimu daripada maksiat.Malah belum berupaya mendorong anda mengerjakan ketaatan serta tidak akan menjauhkan anda daripada api neraka di akhirat kelak.

Apabila anda tidak beramal dengan ilmu serta tidak membetulkan kesilapan masa lalu anda,kelak akan berkata:
 وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلۡمُجۡرِمُونَ نَاكِسُواْ رُءُوسِہِمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ رَبَّنَآ أَبۡصَرۡنَا وَسَمِعۡنَا فَٱرۡجِعۡنَا نَعۡمَلۡ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
 Maksudnya:”Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” Surah al-Sajadah ayat 12.

 Lalu dikatakan kepadamu:Wahai manusia yang tidak menggunakan akal,kenapa engkau hendak kembali ke sama sedangkan engkau baru datang dari sana?

NASIHAT 7 : UTAMAKAN ILMU FARDHU ’AIN (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Apakah hasil yang akan anda perolehi seandai hanya menghabiskan masa belajar ilmu kalam (perbahasan ilmu usuluddin yang mendalam),ilmu yang membahaskan fekah secara terperinci,ilmu perubatan,kesusasteraan,kesenian,astronomi dan ilmu tata bahasa Arab,walhal anda menyalahi perintah Allah dan melanggar larangannya.
 Aku telah melihat dalam kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. ada menyebut :

Mulai seseorang itu menjadi mayat,dia akan ditanya dengan empat puluh soalan.Soalan yang pertama mempersoalkan:Wahai hambaku!Kenapa engkau sepanjang masa membersihkan zahirmu yang menjadi tempat pandangan manusia,tetapi engkau tidak menyucikan barang sesaat pun hatimu yang menjadi tempat pandanganKu” ?


 Setiap hari Allah memandang hatimu lantas berfirman:

 Kenapa engkau memberi perhatian selain daripadaKu,sedangkan engkau dilingkungi ihsanKu.Apakah engkau tuli tidak dapat mendengar lagi?”

NASIHAT 5 & 6 : KEIKHLASAN NIAT & HAKIKAT HIDUP(IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Berapa banyak ruang malam anda telah diisi dengan mengkaji ilmu dan membaca bahan bacaan dengan mengurangkan tidur.Apakah tujuan anda berjaga malam.Apakah niat anda berjaga malam untuk mencari keuntungan duniawi,mengumpul harta kekayaan,mengejar pangkat dan bermegah dengan kebolehan anda di khalayak manusia.Alangkah ruginya apabila anda masih berada pada tahap itu.
Alangkah beruntungnya anda berjaga malam dengan berniat untuk menghidupkan syariah Nabi Muhammad SAW,membersihkan jiwa dan akhlak anda serta menundukkan keinginan nafsu anda yang sentiasa menyuruh berbuat jahat.


Kata penyair:
 سهر العيون لغير وجهك ضائع                          وبكاؤهن لغير فقدك باطل      

Mafhumnya: Berjaga malam bukan kerana zatMu nescaya hampa,
Dan merintih bukan kerana kehilanganMu nescaya terbatal.

Hakikat Hidup,Cinta dan ’Amal

Wahai anakku tercinta!
 عش ما شئت فانك ميت       , واحبب ما شئت فانك مفارقه             
واعمل ما شئت فانك مجزي به                              
 Hiduplah anda menurut kemahuan lantaran anda pasti menemui kematian,dan cintailah apa yang anda kehendaki lantaran anda akan pasti berpisah daripadanya serta beramallah anda menurut apa yang anda mahu lantaran amal perbuatan anda akan dibalas

NASIHAT 4 : BALASAN SETIMPAL DENGAN AMALAN (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Selama mana anda tidak beramal,selama itu juga anda tidak akan mendapat pahala.Diriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada Bani Israel yang beribadat selama 70 tahun,lantas Allah SWT menunjukkan keadaannya kepada para malaikat.

Allah SWT mengutuskan malaikat kepadanya yang berkata:”Walaupun anda telah beribadat selama 70 tahun,namun itu tidak melayakkan anda untuk masuk syurga.Lelaki tersebut menjawab:”Itu bukan urusan saya.Saya diciptakan untuk beribadat kepada Allah.Itulah pekerjaan yang mesti saya laksanakan.”Malaikat tersebut melaporkan hal tersebut kepada Allah.Sehubungan ini Allah SWT berfirman kepada para malaikat.”Apabila hambaKu tidak berpaling daripadaKu maka Aku akan membalasnya dengan kemurahanKu,Aku juga tidak akan berpaling daripadanya.Wahai para malaikatKu bersaksilah bahawa Aku telah mengampuni segala dosa lelaki itu.”
Sehubungan ini junjungan Rasulullah SAW:
حاسبوا انفسكم قبل ان تحاسبوا وزنوا اعمالكم قبل ان توزنوا
Mafhumnya:”Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung,dan timbanglah amalan mu sebelum kamu diadili.”


Ali karramaLlah wajhah menyatakan:
من ظن انه بدون الجهد يصل فهو متمن ومن ظن انه ببذل الجهد يصل فهو مستغن
Ertinya:”Siapa yang menyangka bahawa tanpa usaha dia akan dapat masuk ke dalam syurga maka orang itu hanya berangan-angan dan siapa yang menyangka bahawa hanya dengan usaha dia akan masuk syurga maka orang itu telah merasa kaya daripada rahmat Allah.”
Sehubungan ini Hasan al-Basri menegaskan bahawa mencari syurga tanpa amalan adalah satu dosa daripada segala dosa.Beliau menegaskan lagi:Tanda seseorang itu memahami hakikat ilmu itu ialah meninggalkan perbuatan memerhati pahala suatu amalan,dan bukan meninggalkan amalan.

NASIHAT 3 : ILMU DIAMALKAN BERMANFAAT (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Wahai anakku,Janganlah engkau muflis dalam amalan serta janganlah kamu melakukan perkara yang tidak berfaedah.Ingatlah bahawa hanya berbekal ilmu tanpa amal belum boleh menjamin keselamatanmu diakhirat nanti.Misalnya,seandainya seseorang memiliki sepuluh bilah pedang yang tajam dan pelbagai senjata lain.Dia juga seorang yang berani dan sangat handal dalam seluk beluk peperangan.Kemudian datang seekor singa tangkas terus menyerangnya.Adakah cukup dia mempunyai pelbagai senjata yang canggih tetapi tanpa menggunakannya,sudah tentu dia tidak akan dapat menangkis serangan singa itu.Segala senjata itu berguna apabila ia digunakan oleh pemiliknya itu.
 Demikian juga seseorang yang menguasai ratusan ilmu sedangkan dia tidak beramal dengannya,nescaya segala ilmu tersebut tidak akan memberi manfa’at.Analogi yang sama boleh dimisalkan dengan seseorang yang ditimpa demam kuning panas yang dinasihatkan oleh doktor supaya dia meminum ubat sekanjabin dan kaskab.Dia tidak akan sembuh sehingga pesakit itu meminum ubat tersebut.


Sehubungan dipetik satu syair Parsi yang bermaksud:”Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak,maka engkau tidak akan mabuk sehingga engkau meminumnya.

Justeru itu,walaupun anda menuntut ilmu seratus tahun lamanya dan menghimpunkan seribu buah kitab,anda masih belum mendapat rahmat Allah kecuali setelah anda mengamal dan menghayati semua ilmu tersebut
.Dalam konteks ini Allah SWT berfirman:
   
وان ليس للانسان الا ما سعى

Maksudnya: “Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat sesuatu kecuali apa yang diusahakannya.”(Surah al-Najm ayat 39)

Dan firman Allah lagi;
فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا

Maksudnya: ”Maka sesiapa yang mengharap akan bertemu dengan Tuhannya,maka hendaklah dia beramal dengan amalan yang sholeh.”(S.Al-Kahf ayat 110).

Firman Allah lagi:
                                          جزاء بما كانوا يكسبون            
Mafhumnya:  ”(Balasan yang diberikan kepada mereka) adalah sebagai ganjaran bagi apa yang diusahakan oleh mereka.”Surah at-Taubah ayat 82.

Firman Allah lagi:
ان الذين ءامنوا وعملوا الصالحات كانت لهم جنات الفردوس نزلا  خالدين فيها لا يبغون عنها حولا
Maksudnya:  ”Sesungguhnya orang2 yang beriman dan beramal sholeh nescaya mereka akan dikurniakan syurga firdaus sebagai tempat tinggal mereka.Mereka kekal didalamnya dan mereka sudah tidak mahu lagi mencari tempat yang lain daripada kediaman mereka itu.”Surah Al-Kahf ayat 107-108).

Firman Allah lagi:
الا من تاب وءامن وعمل عملا صالحا
Maksudnya:  ”Melainkan orang2 yang bertaubat dan beriman serta beramal dengan amalan sholeh.” Surah al-Furqan ayat 70.

 Apabila anda tidak beramal dengan ilmu maka apakah respons anda terhadap hadis berikut:
بني الاسلام علي خمس شهادة ان لا اله الا الله وان محمدا رسول الله واقام الصلاة وايتاء الزكاة وصوم رمضان وحج البيت لمن استطاع اليه سبيلا
Mafhumnya:  Islam itu ditegakkan atas 5 perkara:Syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah,mendirikan sholat,mengeluarkan zakat,berpuasa Ramadhan,mengerjakan haji ke BaituLlah bagi mereka yang berupaya.”

Iman itu perkataan dengan lidah,membenarkannya dengan hati dan melaksanakannya dengan pancaindera.Dalil yang menuntut kita beramal amat banyak.Walaupun seseorang itu masuk syurga dengan rahmat Allah,namun ianya tercapai dengan taat dan ibadah.Rahmat Allah amat hampir dengan orang yang berbuat baik.Sebelum ke syurga kita perlu melalui dugaan2 besar.Ujian pertama ialah iman.Apabila kita mati dalam keadaan beriman,adakah kita muflis dari segi amal.Hasan Basri berkata:Allah berfirman kepada hamba2Nya di akhirat:Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu,dan tentukan kedudukan kamu mengikut amalan masing-masing.

NASIHAT 2 : BAGAIMANA SEWAJARNYA KITA MENERIMA NASIHAT ( IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)


PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang beratnya ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi sesiapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia,kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap  bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup untuk menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya mala dia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu.Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i’tiqad  dan aliran pemikiran ahli falsafah.SubhanaLlah,alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini.Bukankah dia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian dia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu,nanti di akhirat kelak dia akan dipersoalkan dengan soalan yang lebih berat daripada orang-orang yang tidak tahu apa-apa.Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda:


اشد الناس عذابا يوم القيامة عالم لا ينفعه الله بعلمه

 Mafhumnya:”Orang yang paling pedih seksaannya pada hari qiyamat nanti ialah seorang alim yang Allah tidak memanfaat ilmunya

 Diriwayatkan oleh Syeikh Junaid al-Baghdadi bahawa seorang yang telah bermimpi  bertemu dengannya di waktu tidur selepas kematiannya.Lalu orang itu bertanya kepada Al-Junaid:Apa khabarmu wahai Abu al-Qasim.Lalu Sheikh menjawab :Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan ilmu yang batin  Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.

NASIHAT 1 : WAKTU ITU IALAH KEHIDUPAN ( IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

Wahai anakku yang tercinta,sebahagian daripada nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya ialah:

علامة اعراض الله تعالي عن العبد اشتغاله بما لا يعنيه وان امراء ذهبت ساعة من عمره في غير ما خلق له من العبادة لجدير

ان تطول عليه حسرته ومن جاوزالاءربعين ولم يغلب خيره علي شره فليتجهز الي النار

 Mafhumnya:

Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Ta’ala daripada seseorang hamba apabila dia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah.Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada sesuatu hal yang bukan menjadi tujuan hidupnya (yakni beribadat kepada Allah) maka layaklah panjang penyesalannya (diakhirat kelak) dan sesiapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum menguasai kejahatannya maka layaklah dia mempersiapkan diri untuk ke neraka.”

Sebenarnya sekadar ini pun sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang yang berilmu.