Kamis, 28 Juli 2016

KITAB ADABUL MURIDIN : [6] ATURAN MAZHAB AHLI SUFI



AL IMAM AL ARIFBILLAH ABU NAJIB DHIYAUDDIN AS SUHRAWARDY [PENDIRI TAREKAT SUHRAWARDIYAH]

Ketahuilah bahawa mazhab ahli sufi mengandungi disiplin yang lahir dan batin. Disiplin lahir mazhab sufi ialah beradab sopan dengan makhuk, manakala disiplin batinnya ialah munazalah (mempraktis) segala ahwal dan maqam dengan ALLAH Taala, perhatikanlah sabda Baginda Sidnan Nabi ketikamana melihat orang bermain-main dalam solatnya :

Jika hatinya khusyuk sudah tentu anggota lahirnya turut khusyuk. - Al-jami'us Saghir

Sidi Al-Junaid Al-Baghdadi berkata kepada Sidi Abi Hafs Al-Haddad rahimahum ALLAH : "Tuan telah mendidik anak murid dengan peradaban raja-raja", maka dibalas oleh Sidi Abi Hafs : "Bukan itu tujuanku wahai Abal Qasim, namun elok pekerti yang zahir adalah tanda eloknya pekerti batin". Sidi As-Sirriy As-Saqti 2 r.h pula berkata : "Keelokan adab (budi pekerti) merupakan terjemahan dari akal yang sejahtera".

Dikalangan ahli sufi menjaga adab sesama ahli lebih utama dari pekerjaan lain. Ini sesuai dengan apa yang difirmankan ALLAH Taala ketika memuji para rijalNya :

Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Saiyidina Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh ALLAH untuk bertaawa. Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. -Surah Al-Hujurat : 3

Sidi Abu Abdullah bin Khafif 3 meriwayatkan dari Sidi Ruwaim 4 yang berkata kepadanya : "Hai anakku, jadikanlah ilmumu ibarat garam dan jadikan adabmu umpama tepung."

Ulama sufi berkata :


■ "Tasawuf itu semuanya adab ; tiap waktu ada adabnya yang khusus, tiap keadaan ada adabnya yang khusus, tiap maqam ada adabnya yang khusus. Barang siapa berpegang teguh dengan adab dia akan mencapai darjat para rijal. Siapa yang mengabaikan adab dia adalah jauh walau menyangka dekat, dia adalah tertolak walau mengharap diterima".

■ "Barangsiapa tidak beradab haramlah baginya tiap kebaikan".

■ "Siapa yang tidak beradab dengan masa, masanya adalah kecelakaan".

■ "Adabnya jiwa ialah engkau mengenalkan dan mendorongnya membuat kebajikan,
adabnya jiwa ialah engkau mengenalkan dan mencegahnya dari membuat kejahatan".

■ "Adab merupakan sandaran para faqir dan perhiasan orang kaya".

Dalam hal adab kesopanan ini manusia terbahagi kepada tiga tingkatan ; tingkatan
pertama ahli dunia, tingkatan kedua ahli agama, manakala tingkatan teratas ialah golongan istimewa dikalangan ahli agama. Pada tingkatan ahli dunia majoriti adab sopan mereka ialah tentang kefasihan bahasa dan sastera menghafaz ilmu, sejarah raja-raja dan syair-syair Arab.
Pada tingkatan ahli agama selain memerhatikan soal ilmu, adab sopan mereka secara majoriti ialah melatih jiwa, menjaga kesopanan anggota lahir, membaiki tabiat, mematuhi aturan, meninggalkan syahwat, menjauhi yang syubhat serta segera melakukan kebajikan. Manakala tingkatan istimewa dikalangan ahli agama pula adab kesopanan mereka ialah pada memelihara keelokan hati, menyimpan rahsia, seterusnya keadaan zahir dan batin yang tidak berbeza.

Dikalangan murid, mereka bersaing dengan amal ketaatan, golongan pertengahan
bersaing dengan adab kesopanan, manakala golongan arifin mereka bersaing dengan al-himmah (jiwa besar). Definisi himmah antaranya ialah : perasaan positif yang mendorong jiwa untuk mencapai ketinggian. Kerana itulah harga diri seseorang diukur pada jiwa besarnya.

Sidi Abu Bakar Al-Wasithi  telah ditanya mengenai Sidi Malik bin Dinar  , Sidi Daud At- Tha'iy  , Sidi Muhammad bin Wasi' dan kalangan ahli ibadah yang lainnya, maka jawab Sidi Abu Bakar : "Mereka adalah satu kaum yang telah keluar dari diri mereka untuk masuk kedalam diri mereka jua ; mereka meninggalkan nikmat sementara untuk mendapat nikmat yang abadi, (mereka meninggalkan makhluk yang dicipta) demi menuju Tuhan Al Khaliq yang menciptakan sirna dan keabadian".

Sidi Junaid Al Baghdadi telah ditanya mengenai firman ALLAH Taala :

Mereka tidak meminta-minta kepada orang dengan mendesak...
- Surah Al-Baqarah : 273

Beliau menjawab : "Hemah mereka yang tinggi itu telah menahan diri dari meminta apa-apa hajat selain kepada ALLAH Taala."

Sidi Al-Hushri5 meriwayatkan : "Apabila terdengar deburan api dari neraka jahannam semua manusia ketakutan, tak kira yang mulia atau yang hina semua hanya memikirkan diri sendiri, masing-masing berkata : diriku, diriku... Kecuali Baginda Nabi Muhammad yang ingat pada tanggungjawab memberi syafaat lantas berkata : Umatku, umatku. . ."

Demikianlah keadaan nafsu manusia yang pasti ada kecacatan, dengan itu manusia akan selalu mengadu : Tuhanku... Tuhanku... Hingga sedarlah diri bahawa makhuk yang bersifat baharu itu tak terlepas dari kekurangan.

KITAB ADABUL MURIDIN : [5] DEFINISI TASAWWUF



AL IMAM AL ARIFBILLAH ABU NAJIB DHIYAUDDIN AS SUHRAWARDY [PENDIRI TAREKAT SUHRAWARDIYAH]
 
Jawapan para syeikh sufi (mengenai definisi tasawuf) berbeza berdasarkan latar belakang soalan itu sendiri. Setiap syeikh menjawab berdasarkan ehwal dirinya, atau dengan sekadar yang mampu difahami oleh yang bertanya ; kalau yang bertanya masih seorang murid maka jawapannya berdasarkan zahir mazhab sufi dibidang muamalat, jika yang bertanya telah berada ditahap pertengahan maka jawapannya berdasarkan ahwal... jika yang bertanya seorang arif maka jawapan yang akan diberi berdasarkan hakikat.

Apapun jawapan ahli sufi yang paling zahir ialah : Permulaan tasawuf adalah ilmu,
pertengahannya amal dan penghujungnya kurniaan (dari Allah). Ilmu akan menyuluh jalan, amalan membantu untuk mencapai tujuan, sedangkan kurniaan (dari ALLAH di hujungnya) akan menyampaikan kepada apa yang dicita.

Ahli tasawuf terbahagi kepada tiga golongan :

• pertama golongan murid yang sedang menuntut  muridun thalib

• kedua golongan pertengahan yang sedang menempuh perjalanan Jaujla
mutawassithun saa'ir

• dan yang ketiga golongan yang telah sempurna lagi sampai (kepada Allah) -
muntahin washil.

Maka murid itu empunya waqt (waktu semasa), yang pertengahan empunya hal, yang muntahi (telah sempurna dan sampai) empunya nafas ; perkara yang paling utama disisi mereka ialah menghitung nafas.

Golongan murid diberati dengan kewajiban-kewajiban dalam memenuhi tuntutannya,
golongan pertengahan dipertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan adab pada setiap peringkat yang menjadikan warna dirinya berubah-ubah berdasarkan peningkatan dari satu maqam ke satu maqam yang lain, yang menjadikan pencapaian golongan pertengahan akan terus meningkat.

Golongan yang telah sempurna pula adalah golongan yang dijamin kerana mereka telah melepasi semua maqam, kedudukan mereka adalah terjamin dan takkan terkesan dengan sebarang keadaan maupun bencana yang menimpa. Kedudukan ini diistilahkan sebagai at-tamkin (yang tak tergoyah) sepertimana diibaratkan ketika peristiwa Zulaikha mempamerkan Nabi Yusufkepada wanita-wanita bangsawan ; semua hadirin terpesona hingga memotong jari-jemari sendiri, namun Zulaikha sedikit pun tak tergoyah disitu kerana dia telah mencapai darjat tamkin
terhadap Yusuf, sedangkan realitinya dikalangan wanita-wanita itu dialah yang paling tergila- gilakan Yusuf.

Dengan itu dapatlah difahami bahawa peringkat murid penuh dengan mujahadah
melawan kehendak nafsu, menanggung beban, meneguk kepahitan, menolak tepi segala kepentingan diri serta kelazatan yang diingini nafsu. Peringkat pertengahan umpama menongkah gelora di lautan demi mencapai tujuan, memelihara kejujuran diri dalam semua keadaan serta menjaga adab dalam setiap maqam yang dicapai. Manakala di peringkat kesempurnaan adalah peringkat sedar dan waras serta tamkin, berinteraksi dengan ALLAH Taala yang Maha Benar dalam situasi apa pun. Di peringkat kesempurnaan ini bagi seorang sufi susah dan senang adalah
sama, diberi atau tidak, berteman mesra atau dipulaukan semuanya sama tak berbeza reaksinya. Makan atau lapar sama, tidur atau jaga sama ; kepentingan dirinya sudah sirna, yang kekal adalah apa yang diwajibkan keatasnya, zahirnya bersama makhluk batinnya bersama ALLAH.

Semuanya itu adalah dicontohi dari ehwal kehidupan junjungan Sidnan Nabi <^ *M dan para sahabatnya ; diperingkat awal baginda khalwah (menyendiri) di Gua Hira', kemudian baginda bergaul dengan manusia ; dimana tiada beza lagi disisi Baginda antara khalwah dengan jalwah (bersama makhluk). Begitu juga dengan para sahabat ahli suffah sesudah mencapai ehwal tamkin mereka menjadi para penguasa dan pentadbir ; waktu itu bergaul dengan manusia tidak lagi memberi kesan terhadap jatidiri mereka.

KITAB ADABUL MURIDIN : [4] CABANG CABANG AGAMA DAN HUKUM HUKUMNYA



AL IMAM AL ARIFBILLAH ABU NAJIB DHIYAUDDIN AS SUHRAWARDY [PENDIRI TAREKAT SUHRAWARDIYAH]

Ijmak ahli Sufi menegaskan bahawa wajib hukumnya mempelajari segala hukum syariat yang mesti diketahui serta darihal halal dan haram dalam agama (ilmu fardhu ain). Ilmu ini wajib dituntut supaya amalan sejajar dengan ilmunya. Pepatah sufi mengatakan : "Ilmu tanpa amal ; mandul, amal tanpa ilmu ; penyakit." Sabda Saiyidina Rasulullah

Menuntut ilmu adalah kewajiban setiap orang Islam. - Sunan Ibnu Majah

Kaum Sufi memilih mazhab salafus soleh dari kalangan ulama feqah yang pakar dalam bidang hadis. Kaum sufi tidak menolak perkara ikhtilaf yang berlaku antara ulama dalam ranting-ranting agama kerana Sidnan Nabi  telah bersabda :

Ikhtila/ (perselisihan pendapat) dikalangan umatku adalah rahmat

Mengenai ulama yang diiktiraf perselisihan mereka sebagai rahmat, kaum Sufi
berpendapat bahawa mereka itu ialah para ulama yang berpegang teguh kepada kitab ALLAH, berjuang mengikut sunnah Saiyidina Rasulullah j <^ ^ dan mencontohi para sahabat. Ulama-ulama ini terbahagi kepada tiga golongan : ulama hadis, ulama feqah dan ulama sufi.

Ulama hadis berpegang teguh kepada makna yang zahir dari hadis Saiyidina Rasulullah  yang merupakan asas agama.

Konsep ini didasarkan kepada firman ALLAH :

Dan apa yang datang dari Rasul hendaklah kamu ambil, manakala yang ditegah oleh Baginda wajiblah kamu meninggalkannya. - Surah Al-Hasyr : 7

Ulama hadis adalah para pengawal agama yang telah bekerja keras menuntut ilmu hadis, mengajarkannya, memahami isi kandungannya dan menyaring riwayat-riwayat hadis yang sahih dan yang tidak sahih.

Ulama Feqah - yang benar ilmunya - mengatasi kedudukan ahli hadis kerana
keistimewaan mereka dalam memahami dan menggali hukum dari hadis, juga kefahaman mereka yang mendalam terhadap aturan hukum-hukam agama ; membezakan yang mana nasikh dan mansukh, muthlak dan muqayyad, mujmal dan mufassar, khas dan 'aam, muhkam dan mutasyabih. Pendek kata para ulama feqah adalah ahli hikmah dan golongan terkemuka dalam agama Islam.

Golongan sufi menyetujui kefahaman serta perjalanan golongan feqah dan hadis selagi mana tetap berada diatas landasan sunnah dan tidak didasari oleh nafsu. Mana-mana ahli sufi yang tidak mengetahui suatu hukum syarak akan merujuk kepada ulama feqah dan hadis, bila dua golongan ini sependapat maka ahli sufi bersama pendapat mereka. Jika berlaku khilaf antara ulama feqah dan ulama hadis dalam menentukan satu hukum, ahli sufi akan memilih pendapat yang terbaik dan yang lebih patut diikut ; dalam mazhab sufi tidak boleh mencari-cari helah
(dalam melaksanakan apa-apa hukum), juga tidak boleh mengikut dorongan syahwat (dalam apa jua perkara).

Lebih dari itu golongan sufi telah diistimewakan ALLAH Taala dengan ilmu-ilmu yang
tinggi serta ehwal yang mulia. Ahli sufi membicarakan persoalan hubungan (sesama ALLAH dan sesama manusia), gerak dan diam (dalam jiwa) yang tak nampak oleh mata kasar, maqam- maqam yang terpuji seperti maqam taubat, zuhud, warak, sabar, redha, tawakkal, cinta, takut, harap, musyahadah (penghayatan), ketenangan, yakin, qana'ah, kejujuran, ikhlas, syukur, zikir, fakir, muraqabah (awas), iktibar, gementar, mengagungkan ALLAH, membesarkan ALLAH, menyesal, malu, jam'u, tafriqah, fana' (sirna), baqa' (kekal), mengenal diri, melawan nafsu, melatih jiwa, pengetahuan yang seni-seni mengenai sifat riya' (menunjuk-nunjuk kemampuan
diri), syahwat yang tersembunyi, syirik khafi (syirik tersembunyi) dan bagaimana cara mahu selamat dari penyakit-penyakit tadi.

Golongan sufi juga mampu menggali ilmu-ilmu yang tak tercapai oleh para ulama feqah seperti perbahasan mengenai halangan dan rintangan (yang menyekat perjalanan menuju Allah), hakikat segala zikir, mengikhlaskan tauhid, peringkat-peringkat tafrid, rahsia-rahsia tersembunyi di dalam jiwa, kesirnaan yang baharu bila mengadap yang Maha Qadim, hilang segala ehwal, menghimpun segala yang tercaing, berpaling dari segala maksud dengan meninggalkan sikap menentang.

Golongan sufi adalah manusia-manusia yang diistimewakan ALLAH untuk memahami segala permasalahan dari perkara-perkara yang disebutkan tadi dengan terjun secara langsung ke medannya, merempuh segala rintangannya dengan menggadai nyawa. Dengan itu bagi sesiapa yang mendakwa-dakwi diri mencapai maqam itu dan ini dalam perkara-perkara yang disebutkan tadi, para ulama sufilah yang akan berhadapan dengan mereka ; menuntut agar didatangkan bukti dan dalil atas dakwaan seumpama itu. Para ulama sufilah yang dapat menjelaskan mana yang benar serta mana yang salah dalam hal-hal tersebut. Pendek kata ulama sufi adalah benteng, penolong dan pembesar agama Islam.

Maka barangsiapa yang punya kemusykilan dalam mana-mana bidang yang telah
dijelaskan hendaklah merujuk kepada pakar di bidang tersebut. Siapa yang ingin mendapat penjelasan mengenai ilmu hadis dan perawi-perawinya hendaklah merujuk kepada ulama hadis, bukan kepada ulama feqah. Siapa yang ingin penyelesaian masalah berhubung soal-soal hukum- hakam yang halus perinciannya hendaklah merujuk kepada ulama feqah. Siapa yang ingin jawapan mengenai permasalahan hal ehwal tasawuf, latihan jiwa, seni-seni warak serta tingkatan
tawakkal hendaklah merujuk kepada ulama sufi, bukan kepada yang lain. Siapa yang salah tempat merujuk bererti salah memilih jalan dan menempuh lorong yang sempit.