Selasa, 29 Maret 2016

KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL YANG KETIGA : PADA MENYATAKAN [TENTANG NIKMATNYA] LIDAH



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)


KEGUNAAN LIDAH

Ketahui[lah] oleh mu [wahai saudara-saudara ku sekelian] bahawasanya Allah Taala [yang telah] menjadikan Ia akan lidah [engkau itu adalah] bagi [kegunaan] engkau [sehari-hari] supaya [dapat] membaca engkau dengan dia akan [kitab suci Al] Quran dan [Al] Hadith Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam.

Dan [dapat engkau membaca dengan lidah engkau itu akan] segala zikir.

Dan [dapat engkau mencari dan menyampaikan ilmu] pengetahuan yang memberi[kan] manfaat [kepada diri engkau sendiri dan juga orang lain].

Dan supaya [dapat] mengajar[kan] engkau dengan dia akan ilmu yang memberi manfaat [kepada masyarakat umumnya].

Dan [dapat] menyuruh engkau dengan[nya akan] kebajikan dan [dapat] melarang [engkau akan masyarakat] daripada [melakukan] kejahatan.

Dan [dapat] memberi[kan] nasihat engkau akan orang Islam dan [dapat] menunaikan engkau akan hajat mereka itu dan [dapat] mendamaikan engkau akan mereka [yang berkelahi] itu.

Dan barang sebagainya [juga] daripada segala faedah [yang dibangsakan kepada] akhirat yang [dapat] dikerjakan [oleh engkau] dengan lidah [engkau itu maka] seperti [itu jugalah] menjadikan [oleh] Allah Taala akan lidah engkau itu kerana [untuk] maslahah dunia seperti [dapat engkau] mencari harta dengan segala akad seperti akad jual beli dan akad sewa.


BERSYUKUR DENGAN NIKMAT LIDAH

Dan hendaklah [ber]syukur engkau [di] atas nikmat lidah ini dengan memeliharanya daripada barang yang tiada dijadikan [lidah itu] kerananya [seperti engkau menjauhkan lidah engkau itu] daripada [segala tabiat kemahuan] berkata-kata dengan [apa] yang dilarang [oleh agama] seperti berdusta yang [mampu] menyakiti akan [hati] orang yang lain [dengan lidah engkau itu] maka [hukumnya] itu [adalah ber]dosa besar.

Bersalahan [pula jika sekiranya] berdusta [itu] yang tiada menyakiti [hati orang lain] maka [hukumnya] iaitu dosa kecil.

Kecuali kerana [keinginan kepada sesuatu] hajat maka tiada ada ia [mendapat] dosa seperti [tiada berdosanya orang yang] berdusta kerana mendamaikan antara [sesama] manusia [yang berbalah] kerana [berdalilkan satu riwayat dari Ummu Kalthum bahawa]

Hadith 4. [ber]sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,ertinya, tiada mereka yang mendamaikan antara manusia itu [dikira sebagai seorang yang] berdusta”.

Bahkan terkadang wajib [pula seseorang itu] berdusta [dan tidak dihukumkannya berdosa] seperti [jika sekiranya] melihat ia akan orang yang haram dibunuh[nya kerana tiada disabitkan akan dia oleh apa-apa kesalahan] yang bersembunyi ia [yang tidak bersalah itu] daripada orang yang zalim yang [mana orang yang zalim itu] mengkehendaki [jika menjumpainya akan] membunuhnya maka [kita yang melihatnya] wajib berdusta kerana melepaskannya daripada dibunuh [oleh] orang yang zalim itu.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti [engkau] mengumpat iaitu menyebut engkau akan saudara engkau dengan perkataan yang benci ia akan dia jika didengar[i]nya [akan perkataan itu] maka iaitu haram [hukumnya] dengan ijmak ulamak.

Bahkan berkata kebanyakan mereka itu bahawa mengumpat itu [hukumnya adalah ber]dosa besar kerana barang yang datang daripada[ dalil-dalil]nya daripada beberapa janji seksa yang bersangatan [sakitnya].

Seperti firman Allah Taala : ertinya, [wa]hai sekalian mereka yang beriman, jauhkan[lah] oleh kamu akan banyak daripada sangka iaitu sangka yang jahat kerana bahawasanya setengah daripada sangka itu dosa dan jangan kamu mencari dan memeriksa aib manusia, dan jangan mengumpat setengah kamu akan setengah [yang lain], adakah kamu suka [salah] seorang [daripada] kamu bahawa makan ia [akan] daging saudaranya [sendiri] pada ketika [saudaranya itu telah] mati, maka benci kamu akan dia dan takut oleh kamu akan Allah Taala, [dan ingatlah] bahawasanya Allah Taala itu sangat menerima taubat lagi sangat kasih sayang”.[Surah Al Hujurat Ayat 12]

Hadith 5. Dan telah menceritakan oleh Al Baihaqi dan At Tobrani dan Abu Asy Syeikh [Al Asfahani] dan Ibnu Abi Ad Dunya daripada Jabir dan Abu Said radhiyallahu anhuma berkata keduanya, [telah] bersabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, ertinya, “jauhkan[lah] oleh kamu akan diri kamu dan jauhkan[lah] oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada berzina, dikatakan bagi Nabi sallallahu alaihi wasallam, betapa[kah] ada [dikira] mengumpat itu lebih bersangatan daripada berzina? Bersabda ia, bahawasanya seorang laki-laki terkadang berzina ia dan bertaubat ia maka menerima Allah Taala akan taubatnya dan bahawasanya [orang] yang mengumpat itu tiada diampuni baginya [akan dosanya] hingga[lah] mengampuni bagi[ dosa mengumpat]nya [itu] oleh orang yang diumpatnya”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti menyalahi janji yang adalah ia salah satu daripada segala alamat munafik.

Hadith 6. [Dari Abu Hurairah bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,(Rawahu Asy Syaikhani ‘an Abi Hurairah radhiyallahu anhu) ertinya, “tanda munafik itu tiga, apabila bercerita ia nescaya berdusta ia, dan apabila menjanji ia akan kebaikan nescaya menyalahi ia akan janjinya dan apabila dipercayai akan dia nescaya khianat ia, ertinya tiada menunaikan ia akan barang yang dipercayai ia padanya itu”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti [suka] berbantah-bantah dan berkata-kata pada barang yang tiada memberi[kan] faedah.

Hadith 7. [Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam,
ertinya, setengah daripada keelokkan Islam seseorang itu [ialah] meninggalkan ia akan barang yang tiada memberi[kan] manfaat akan dia pada [kehidupannya di] dunia atau [pada kehidupannya di] akhirat”.

Dan [hendaklah engkau memelihara lidah engkau itu daripada berkata-kata akan perkara-perkara yang dilarang] seperti mengadu-ngadu.

Hadith 8. [Dari Huzaifah radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam, ertinya, “tiada masuk ke dalam syurga orang yang [suka] mengadu-ngadu”.

Dan sesungguhnya telah ittifak ulamak [dan telah bersepakat mereka itu] atas bahawasanya mengadu-ngadu itu dosa besar.

Iaitu memindahkan perkataan [daripada] setengah manusia kepada setengah[nya yang lain] kerana [ber]tujuan [hendak] membinasakan antara [kedua] mereka itu dan menjadikan [kedua] mereka [itu] berkelahi.

Adapun memindahkan perkataan kerana [bertujuan hendak memberikan] nasihat bagi mereka yang dipindahkan perkataan kepadanya [itu] maka wajib ia [berbuat demikian dan kelakuan seperti ini] tiada [ter]masuk ia di dalam [hukum] mengadu-ngadu yang dilarang[kan oleh agama Islam].

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya lidah itu [dikira sebagai] sebanyak-banyak anggota dan sebesar-besarnya daripada [pengiraan kebolehannya melakukan] kejahatan maka lazimkan[lah] oleh mu akan memeliharanya.

Dan tiada [apa-apa yang dapat] menolong akan dikau atas [selamat] sejahtera [engkau] daripada kebinasaannya melainkan [jikalau engkau betul-betul] mengasingkan diri [engkau] daripada manusia dan mengekalkan diam [engkau ketika bersama-sama dengan mereka] melainkan [engkau berkata-kata] pada ketika berhajat[nya keadaan engkau] kepada berkata-kata seperti [engkau] belajar [akan ilmu yang berguna] dan mengajar[kannya kepada manusia] dan memberi[kan] nasihat [kepada mereka supaya berbuat baik atau meninggalkan yang tidak baik].

Hadith 9. [Telah] bersembah oleh Mu’az Bin Jabal radhiyallahu anhu, hai Rasulullah berpesan[lah] oleh mu akan daku [supaya aku mendapat peringatan daripada pesanan mu itu], maka [pada ketika itu] mengeluarkan[lah oleh] Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan lidahnya yang maha mulia dan bersabda ia, tahan oleh mu akan dia daripada berkata-kata dengan perkataan yang dilarang”.

Dan adalah Saidina Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu anhu memegang akan lidahnya dan berkata ia [kepada dirinya sendiri], “inilah yang [telah] mendatangkan [dan yang telah menempatkan] akan daku [kepada] segala tempat kebinasaan”.

Berkata oleh syair (penyair),
luka dengan sebab lembing sembuh dengan mudah *** tetapi tiada sembuh yang dilukakan dengan lidah

Dan hendaklah engkau ingat akan bahawasanya perkataan yang baik itu [akan] mendatangkan petunjuk bagi segala anggota [di tubuh badannya], dan perkataan yang jahat itu [pula] mensebabkan akan [berlakunya perkara yang] jahat [kepada] segala anggota [di tubuh badannya].

Telah menceritakan oleh Abu Said Al Khudri radhiyallahu anhu bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi [ia maka] bersegera[lah] oleh segala anggota [tubuh badan] semuanya [tertumpu] kepada lidah, dan berkata semuanya bagi[ mengambil perhatian]nya, “[wahai lidah,] menuntut oleh kami akan dikau dengan nama Allah [Taala yang maha suci] bahawa engkau [hendaklah] betul[-betul berada di] atas [jalan] petunjuk [agama Islam bermula pada pagi ini hingga ke seterusnya] kerana bahawasanya engkau [wahai lidah], jika engkau lurus [perjalanan hidup mu pada pagi ini hingga ke seterusnya maka] nescaya kami [juga akan] lurus [perjalanan hidup kami di atas jalan petunjuk agama Islam] dan jika [perjalanan] engkau bengkok [wahai lidah pada pagi ini dan ke seterusnya maka] nescaya kami [juga akan menjadi] bengkok [perjalanan kami pada pagi ini dan seterusnya]”.

Dan berkata[lah] oleh Malik Bin Dinar rahimahu Allahu Taala, “apabila melihat engkau akan [berlaku sifat] keras pada hati engkau dan [berlaku sifat] lemah pada badan engkau dan tertegah [engkau dari]pada rezeki engkau maka ketahui[lah] oleh mu bahawasanya engkau telah berkata-kata pada barang yang tiada memberi manfaat akan dikau”.

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya perkataan engkau itu adakalanya [ia bersifat] taat atau[adakalanya ia bersifat] maksiat atau [adakala ianya adalah perkataan] yang harus [lagi] yang sia-sia.

Maka jika ada[lah] ia [sesuatu perkataan yang berbentuk ke]taat[an] seperti menyuruh [seseorang] dengan mengerjakan kebajikan dan melarang [seseorang] daripada [mengerjakan] kejahatan maka pada[ perkataan suruhan dan larangan]nya [itu akan mendapat] pahala yang besar-besar.

Dan jika ada[lah] ia [sesuatu yang berbentuk ke]maksiat[an] maka pada[ perkataan]nya [itu akan mendapat ke]seksa[an daripada Allah Taala]  yang tiada [dapat] engkau [ber]kuasa menanggung[ sakit pedih]nya.

Hadith 10. [Dari Mu’az radhiyallahu anhu bahawa ber]sabda Nabi [Muhammad] sallallahu alaihi wasallam,erti, dan tiada [sesuatu yang] mensembamkan akan manusia atas muka mereka itu atau atas hidung mereka itu melainkan barang yang berkata-kata mereka dengan dia”.

Dan jika perkataan itu yang [berbentuk] harus [iaitu] yang tiada berfaedah [jika mengeluarkan perkataan itu atau tidak mengeluarkannya] maka pada[ mengeluarkan]nya [dikira dia telah] membuat[kan] pekerjaan [yang sia-sia] bagi malaikat “kiraman katibin” dengan barang yang tiada kebajikan pada[ menulis]nya.

Dan mengirim surat [oleh “kiraman katibin”] kepada Allah Taala yang tertulis di dalamnya perkataan[-perkataan] yang sia-sia [sahaja] dan membacanya di hadapan Allah Taala pada hari kiamat [nanti dengan bacaan yang sia-sia juga iaitu] pada [hari] ketika [berlakunya] huru hara yang sangat besar lagi pada ketika [itu terasa bersangatan] lapar dan dahaga dan bertelanjang [tidak berpakaian yang sangat memerlukan sesuatu kebajikan yang berguna pada ketika itu].

KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL YANG KEDUA : PADA MENYATAKAN [TENTANG NIKMATNYA] TELINGA



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)


KELEBIHAN TELINGA YANG BERKAITAN DENGAN DUNIA DAN AKHIRAT

Ketahui[lah] oleh mu [wahai saudara-saudara ku sekelian] bahawasanya [kelebihan] telinga [engkau] itu [yang telah] menjadikan [akan] dia oleh Allah Taala bagi [kegunaan] engkau [sehari-hari adalah] kerana [ianya mempunyai] beberapa faedah yang [boleh kita] bangsa[kan kepada] dunia dan beberapa faedah yang [boleh kita] bangsa[kan kepada] akhirat.


FAEDAH TELINGA YANG DIBANGSKAN KEPADA DUNIA

Maka [se]setengah daripada segala faedahnya yang [boleh di]bangsa[kan kepada] dunia [ialah engkau dapat] bersedap-sedap dengan [apa] yang [engkau] dengar[i] dan [engkau dapat] menyampaikan ia kepada memfahamkan segala perkataan yang didengar[i oleh engkau itu kepada orang lain].


FAEDAH TELINGA YANG DIBANGSKAN KEPADA AKHIRAT

Dan [se]setengah daripada segala faedahnya yang [di]bangsa[kan kepada] akhirat itu [ialah hendaklah] mendengar ia akan [ayat-ayat Al] Quran dan hadith[-hadith] Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam dan segala ilmu yang memberi[kan] manfaat [kepada engkau].


PENGLIHATAN LEBIH AFDHAL DARIPADA PENDENGARAN

Dan kerana [keterangan yang] banyak ini [tentang] segala faedah [pendengaran maka] adalah pendengar[an] itu lebih afdhal daripada penglihat[an] kerana kebanyakan faedah penglihat[an] itu [yang banyaknya ialah di]bangsa[kan ia kepada] dunia dan kebanyakan faedah pendengar[an] itu [yang banyaknya ialah di]bangsa[kan ia kepada] akhirat.

Dan kerana itu[lah akan] mendapat[i] engkau akan [kebanyakan orang] yang buta [penglihatannya itu] lebih sempurna daripada [orang] yang tuli [pendengarannya].


BERSYUKUR DENGAN NIKMAT PENDENGARAN

Dan bermula [cara] mensyukurkan [akan nikmat] pendengar[an] itu [ialah dengan engkau] memeliharanya daripada mendengar [akan perkara-perkara] yang dilarang [oleh agama Islam] seperti mengumpat dan mengadu-ngadu.

Dan [juga memeliharanya daripada] segala perkataan yang tiada baik seperti [perkataan] bid’ah dan berbantah-bantah.

Dan seperti [memeliharanya daripada] mendengar suara perempuan dan muda belia jika ditakuti daripadanya akan fitnah.

Dan seperti [memeliharanya daripada] mendengar perkakas[-perkakas] permainan yang diharamkan seperti serunai dan gendang.

Dan jangan[lah] engkau tertipu disebabkan [terdapatnya] mereka yang menghalalkan akan mendengar [se]umpama serunai itu kerana perkataanya itu menyalahi ia akan [Al] Quran dan hadith Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam.

Maka lazimkan[lah] oleh mu memelihara [akan] pendengar[an] engkau [ini] daripada perkataan[-perkataan]  yang keji[-keji] dan yang sia-sia kerana mereka yang menuntut dengar [walaupun tidak mengeluarkan kata-kata adalah berkongsi dan] bersekutu [sama] ia dengan mereka yang berkata-kata [yang keji-keji dan sia-sia itu] pada [perkongsian] dosa yang haram itu.

Dan lagi pula bahawasanya mendengar [akan] perkataan yang sia-sia dan keji itu [akan] mendatangkan was-was ke dalam hati [engkau].

Dan ketahui[lah] oleh mu bahawasanya perkataan yang didengar[I] itu [adalah] seperti makanan [kepada engkau kerana] [se]setengahnya memberi manfaat [kepada pendengarnya] dan setengahnya [pula] memberi[kan] mudharat [kepada pendengarnya].

Dan [se]setengahnya [pula menjadi] penawar [kepada pendengarnya] dan [se]setengahnya [menjadi] racun [pula kepada pendengarnya].

Bahkan berkekalan perkataan itu di dalam hati [engkau] lebih lama daripada berkekalan[nya] makanan di dalam perut [engkau] kerana makanan itu [akan] hilang ia dari dalam perut besar [engkau] dengan tidur dan [se]umpamanya.

Dan terkadang berkekalan ia di dalam perut [sehingga] beberapa hari [lamanya] kemudian hilang ia dengan [makan] makanan [seumpama] pencahar (julap).

Adapun perkataan [pula apabila] jatuh [ia] ke dalam hati maka terkadang[-kadang] berkekalan [perkataan itu] di dalam hati [hingga] seumur hidup [lamanya tidak hilang-hilang].

Maka jika ada ia perkataan yang jahat maka sentiasa[lah] ia memfitnahkan [kepada pendengarnya] dan mendatangkan was-was [ke dalam hatinya] bahkan terkadang mensebabkan ia akan [jatuh ke dalam] kebinasaan yang [sangat] besar [lagi berpanjangan].

Maka hendaklah bersungguh-sungguh orang yang berakal pada memelihara[kan] pendengar[an]nya [itu] dan [memelihara] segala anggotanya sebelum ditanya daripada[ apa yang dilakukan]nya [di dunia dahulu] pada hari kiamat [nanti].

Telah berfirman Allah Taala,ertinya, “bahawasanya pendengar[an] dan penglihat[an] dan hati [maka ketahuilah] sekelian[nya] itu akan ditanya daripada[ perbuatan]nya pada hari kiamat [nanti]”. [Surah Al Israk Ayat 36]


KITAB PENAWAR BAGI HATI FASAL YANG PERTAMA : PADA MENYATAKAN [TENTANG NIKMATNYA] MATA



OLEH : ASY SYEIKH ABDUL QODIR BIN ABDUL MUTTOLIB  AL INDONISI AL MANDILI (ULAMA DAN GURU MASJIDIL HARAM MEKAH)


FAEDAH PENGLIHATAN YANG BERKAITAN DENGAN DUNIA DAN AKHIRAT

Ketahui[lah] oleh mu [wahai saudara-saudara ku sekelian] bahawasanya mata engkau itu [yang telah] menjadikan [akan] dia oleh Allah Taala bagi [kegunaan] engkau [sehari-hari adalah] kerana [ianya mempunyai] beberapa faedah yang [boleh kita] bangsa[kan] [kepada] akhirat dan [beberapa faedah bagi kegunaan engkau yang boleh kita] bangsa[kan kepada] dunia.


FAEDAH MATA YANG DIBANGSAKAN KEPADA AKHIRAT

Maka [se]setengah daripada segala faedah[-faedah]nya yang [di]bangsa[kan kepada] akhirat [itu ialah engkau menggunakan mata engkau itu untuk] memandang kepada [kehebatan Allah Taala dalam menciptakan] langit dan matahari dan bulan dan bintang dan lainnya.

Supaya [dengan menggunakan pandangan mata kasar engkau itu dan pandangan mata halus engkau itu dapatlah] berdalil [oleh] engkau dengan dia atas ada[nya] Allah Taala.

Dan [dapatlah berdalil di] atas keesaan Nya dan [di] atas [ke]kuasaan Nya [atas sekelian makhluk Nya].

Dan [se]setengah daripada[ faedah]nya [yang dibangsakan kepada akhirat ialah engkau dapat] melihat akan [Al] Quran dan [engkau dapat] melihat akan jalan [untuk engkau menuju] kepada masjid dan [engkau dapat melihat akan jalan untuk menuju] kepada tempat [untuk engkau] menuntut ilmu[-ilmu agama].


FAEDAH MATA YANG DIBANGSAKAN KEPADA DUNIA

Dan [se]setengah daripada faedahnya yang [di]bangsa[kan kepada] dunia [ialah engkau dapat] melihat [kepada] perusahaan engkau.

Dan [dapat] melepaskan engkau daripada segala yang menyakiti [engkau] seperti [tersilap langkah lalu] jatuh [ke bawah] dan [seperti tersilap langkah lalu] berlaga [dengan sesuatu].


BERSYUKUR DENGAN NIKMAT PENGLIHATAN

Dan bermula [cara untuk] mensyukurkan [akan nikmat anugerah] mata itu [ialah dengan cara] memelihara[nya dan menjaganya] daripada[ fitnah mata]nya tiap-tiap [kali matanya hendak] melihat [kepada] yang haram.

Seperti [matanya hendak] melihat [kepada] perempuan yang lain daripada isterinya dan [memelihara matanya daripada hendak melihat kepada yang lain daripada] sahayanya dan mahramnya.

Dan [di antara makna mensyukuri nikmat anugerah matanya ialah dengan memelihara matanya daripada yang haram] seperti melihat akan muda belia dan seperti melihat akan aurat laki-laki.

Maka lazimkan[lah dan bersentiasalah] oleh mu akan memelihara mata engkau [itu daripada melihat yang haram sebagaimana yang disebutkan larangannya itu].

Kerana [berpandukan kepada] firman Allah Taala,ertinya, “bersabda[lah] oleh mu [wa]hai Rasulullah bagi sekelian [orang-orang] yang beriman, [maka] pejamkan[lah] oleh kamu akan mata kamu daripada [melihat] barang yang tiada harus bagi kamu melihatnya nescaya memejam oleh mereka itu akan segala mata mereka itu dan suruh[lah] oleh mu akan mereka itu dengan memelihara faraj mereka itu nescaya memelihara mereka itu akan [segala] faraj mereka itu daripada barang yang haram dikerjakan [akan] dia dan yang demikian ([kelakuan] memelihara[kan]) itu lebih baik bagi mereka itu [dan] bahawasanya Allah Taala sangat mengetahui akan batin [apa sahaja] yang mengerjakan kamu akan dia semacam [pengetahuan Allah Taala] dengan zahirnya maka membalas Ia akan mereka itu atasnya”.[Surah An Nur Ayat 30]

[Yang] ada pada ayat ini [ialah] mengajar[kan kita semua supaya ber]kelakuan yang baik dan memberitahu [akan mereka apakah perkara yang patut mereka lakukan] dan menakutkan [mereka daripada melakukan perkara yang tidak patut mereka lakukan].

Maka adapun [makna] mengajar adab [di dalam ayat di atas] maka firman Nya,
 [ertinya,] “bersabda[lah] oleh kamu [wahai Muhammad sollallahu alaihi wasallam] bagi sekelian [orang-orang] yang beriman nescaya memejamkan mereka itu akan segala mata mereka itu”.

[iaitu memelihara mata mereka] daripada [segala] barang yang tiada halal memandang kepadanya.

Dan dengan ini perkataan[lah maka] menyuruh Allah Taala akan hamba Nya dengan berkelakuan yang baik iaitu memelihara[kan] matanya daripada melihat yang haram dan memelihara[kan] kemaluannya daripada yang tiada halal dikerjakan dengan dia.

Maka wajib atas sekelian hamba [Nya] menjunjung perintah tuhannya dan jika [dia] tiada [menjunjungnya] nescaya adalah ia jahat perangai[nya] dan patut[lah] ia dimurkai [oleh tuhannya] dan diseksa [akannya].

Dan adapun [Allah Taala] memberitahu [tentang kesan berkelakuan baik itu] maka firman Nya,  [ertinya,] bermula [yang] demikian [itu iaitu] memejamkan mata dan memelihara[kan] faraj itu [kesannya] lebih membersihkan [jiwa] dan lebih menambahkan [kesucian] bagi mereka itu”.

[Bahawa] memberitahu Allah Taala dengan ini perkataan [di] atas bahawasanya memejamkan mata dan memelihara[kan] faraj itu keduanya [adalah menjadi] sebab bagi [keupayaan seseorang hamba] membersihkan hati[nya] daripada segala dosa dan sebab bagi mem[per]banyakkan [lagi] pekerjaan kebajikan[nya].

Dan adapun [makna yang] menakutkan [daripada melakukan perkara yang diharamkan itu maka terdapat di dalam] firman Nya [iaitu],[[ertinya,] bahawasanya Allah Taala sangat mengetahui akan [yang] batin barang [apa sekalipun] yang mengerjakan kamu akan dia [sama] seperti mengetahui Ia akan zahirnya” maka [kesannya ialah] selagi membalas Ia akan dia.

Jika ada ia [melakukan perkara-perkara] yang baik [maka] nescaya membalas Ia [akan dia] dengan pahala dan kesenangan dan syurga.

Dan [adapun] jika ada ia [melakukan perkara-perkara yang berbentuk] kejahatan maka [sudah tentu akan] membalas Ia dengan [azab] seksa dan api neraka [wal’iyazubillah].
Dan firman Nya Allah Taala, ertinya, “mengetahui oleh Allah Taala akan khianat segala mata iaitu [perbuatan] mencuri oleh mata itu akan memandang kepada yang diharamkan dan mengetahui Ia akan barang yang menyembunyi oleh segala hati daripada [ber]cita-cita [hendak] mengerjakan kejahatan dan [ber]cita-cita [untuk] mengerjakan kebajikan”.[Surah Ghafir Ayat 19]

Hadith 2. Dan [dari Ali Ibnu Abu Tolib bahawa] sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,ertinya, bahawasanya [haram] memandang kepada tempat yang elok daripada tubuh perempuan itu [perumpamaannya samalah] seperti [kesan] anak panah yang beracun [menusuk masuk racunnya ke dalam tubuh] daripada segala anak panah iblis (pada sangat segera membinasakan) maka barangsiapa meninggal[kan] dia kerana takut[kan azab] Allah Taala [maka] nescaya memperasakan dia oleh Allah Taala akan kesedapan amal ibadah yang menyukakan ia akan dia”.

Menceritakan akan ini hadith oleh Al Hakim daripada Huzaifah [Ibnu Husail] radhiyallahu anhu dan menghukumkan ia akan sanadnya dengan soheh.

Hadith 3. Dan [dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu bahawa] sabda Nabi [Muhammad] sollallahu alaihi wasallam,ertinya, “ada bagi tiap-tiap manusia itu bahagiannya daripada zina [yang ingin dia lakukan], maka dua mata itu [dikira] berzina keduanya dan zina keduanya [itu ialah kerana] memandang [dia] kepada barang yang tiada harus dipandang [kepadanya] dan kedua tangan itu [dikira] berzina keduanya dan zina keduanya [itu ialah kerana] menampar [dia] akan yang dilarang menamparnya dan kedua kaki [itu dikira] berzina keduanya dan zina keduanya [itu ialah kerana] berjalan [dia] kepada tempat yang haram [dia] berjalan kepadanya dan bermula mulut itu [dikira] berzina ia dan zinanya [itu ialah kerana] mengkucup [dia] akan yang tiada halal dikucup[nya] dan bermula hati itu berkehendak ia [kepada melakukan zina] dan mencita-cita[kan] ia dan membenarkan akan yang demikian itu oleh faraj (dengan bahawa mengerjakan ia akan zina itu) atau mendustakan ia akan dia (dengan bahawa tertegah ia daripada[ melakukan]nya)”.

Menceritakan akan ini hadith oleh [Al Bukhari hadith no 6243,] Muslim [hadith no 6753, Ahmad hadith no 8321] dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah radhiyallahu anhu.

Dan ada pada hadith ini [yang] menunjukkan atas [makna] bahawasanya asal bagi [berlakunya] zina faraj itu [terlebih dahulu dilakukan oleh] dua mata.

Dan hendaklah menilik engkau [dengan bersungguh-sungguh] kepada segala anggota engkau dengan apa[kah] pekerjaan yang patut ia [lakukan serta apakah pekerjaan yang tidak patut dia lakukan] dan akan apa[kah] pekerjaan yang dinanti-nanti[kan balasan] baginya.

Maka [hendaklah] memelihara engkau akan segala anggota engkau itu sebagai pelihara[an] yang [se]patut padanya dengan pekerjaan yang dinanti[-nantikan balasan] baginya itu.

Maka jika pekerjaan itu sangat besar [balasannya] nescaya [hendaklah] engkau pelihara anggota [engkau] itu dengan pelihara yang bersangatan [juga].

Maka [ingatlah wahai orang-orang yang beriman bahawa] bermula [kelebihan] kaki itu [pada hari akhirat nanti] adalah dinanti-nanti[kan] akan berjalan[-jalan] di dalam kebun[-kebun] syurga dan mahligai[-mahligai]nya.

Dan adapun [kelebihan] tangan itu [pula] maka dinanti-nanti[kan] baginya [untuk] mencapai buah-buahan syurga dan minuman[-minuman]nya.

Seperti itulah [juga] segala anggota[-anggota]  yang lain.

Maka mata [contohnya] hanyasanya ia kerana [hendak] memandang kepada zat Allah Taala di dalam syurga dengan tiada menyerupai kelakuan melihat [kepada segala] yang baharu.

[Sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Al Qiyamah Ayat 22-23,
yang bermaksud, Pada hari akhirat itu, muka-muka dan wajah-wajah orang-orang yang beriman berseri-seri. (22) Kepada Tuhannyalah mereka melihat (23)”.]

Dan tiada ada [nikmat] di dalam [mana-mana] negeri [di] dunia [ini] dan tiada ada [nikmat] di [dalam mana-mana] negeri [di] akhirat [nanti yang mana] nikmat[nya] yang lebih [ter]besar daripada nikmat melihat [zat] tuhan itu.

Maka patut sangat[lah] bagi mata yang dinanti[-nanti]kan baginya [untuk menikmati] akan sebesar-besar nikmat [iaitu dapat melihat tuhan itu] bahawa dipelihara akan dia dengan sehingga-hingga pe[me]lihara[an] dan dimuliakan [akan] dia [dengan] sehabis-habis [pe]mulia[an].

Dan bahawa tiada dikotorkan [akan] dia dengan memandang akan yang haram.