Senin, 07 Januari 2013

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (10)


SOALAN  

Bagaimana sumbangan kitab al-Risalah al-Qusyairiyah dalam memperbaiki tasawwuf mengikut akidah ahli sunnah? 

JAWAPAN

Jika diteliti al-Risalah al-Qusyairiyah, maka jelas kepada kita apa yang dikehendaki oleh al-Qusyairi iaitu untuk memperbetulkan tasawwuf berasaskan aqidah ahli al-Sunnah, beliau berkata:

Ketahuilah! Allah merahmati kamu, bahawa syeikh-syeikh tasawwuf telah membina dasar amalan mereka atas prinsip-prinsip yang betul dengan mentauhidkan Allah, dan mereka menjaga akidahnya daripada perkara-perkara bidaah, mereka berpegang dengan apa yang dipegang oleh ahli Salaf dan Ahli Sunnah yang mentauhidkan Allah dengan tidak ada penyerupaan dan pengurangan (ta’lil), mereka mengetahui apa yang menjadi hak Allah, mereka memastikan apa yang menjadi sifat kepada makhluk dari yang tiada. Oleh itu, pengasas tariqah ini al-Junaid berkata: Tauhid Islam mengesakan Allah dari sifat baharu menetapkan prinsip-prinsip  aqidah dengan dalil-dalil yang terang dan kenyataan yang jelas, sebagaimana kata Abu Muhammad al-Jariri. Di antara rahmat Allah, Allah tidak hanya mengadakan dengan satu dalil sahaja yang akan hilang dengan tipu daya

Ungkapannya ini secara tidak langsungnya menolak syatahat ahli-ahli tasawwuf yang mengeluarkan ibarat-ibarat yang boleh mengelirukan pembaca dengan mencampur adukkan sifat-sifat Allah terutamanya sifat qidam dengan sifat-sifat manusia terutamanya sifat baharu. Dengan jelas ia mengkritik mereka dengan katanya: 

Mereka mendakwa bahawa mereka telah bebas dari belenggu manusia, dan mereka telah sampai kepada hakikat, dan mereka berdiri bersama  Allah dan mengikut hukum-hukum yang ada pada Allah, mereka tidak sedar (hal fana). Apa yang mereka lakukan tidak ada apa celaan dan dosa daripada Allah, mereka telah dibukakan rahsia ahadiyah, dan kekal setelah fananya dengan cahaya samadiyah. 

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (9)


SOALAN  

Apakah syarat-syarat syeikh? 

JAWAPAN 

Golongan tasawwuf tidaklah secara membuta tuli menurut kehendak syeikh. Tetapi setiap murid yang bijak hendaklah melihat kepada tanda-tanda dan alamat yang khusus dan terang dan menggunakan akalnya untuk mengenal hakikat syeikh yang sebenar. Ibn `Ataillah al-Sakandari berkata: Janganlah kamu bersahabat dengan orang yang diri dan perkataannya tidak membantu kamu untuk menghampirkan diri kepada Allah. 

Inilah garis panduan yang dijelaskan oleh Ibn `Ataillah al-Sakandari tentang syeikh tariqat yang menjadi contoh teladan dan ikutan. Terdapat beberapa sifat syeikh yang mnejadi ikutan. Ahli tasawwuf mengatakan: Syeikh ialah seorang yang mengamalkan tariqat melalui bimbingan seorang syeikh yang telah sampai kepada Allah. Lalu meningkat daripada maqam-maqamnya yang tertentu yang bermula daripada maqam taubat ke maqam musyahadah. Setelah dia mencapai maqam yang tertinggi, dia kembali kepada amalan syariat biasa dan membimbing manusia dengan beberapa peringkat dalam tariqat, lalu dibuka kepada mereka dengan izin Allah pintu-pintu dimana mereka akan memperolehi cahaya hakikat. 

Kata sebahagian yang lain: Antara tanda seseorang syeikh ialah dia memiliki ilmu yang benar, rasaan rohani (ذوق) yang jelas, hemah yang tinggi, perawakan yang diredhai dan mata hati yang sentiasa terbuka (بصيرة). Pendapat yang lain ialah: Sesiapa yang mempunyai lima tanda ini maka ianya bukanlah syeikh yang sebenar iaitu jahil tentang agama, tidak menjaga kehormatan orang Islam, melakukan sesuatu yang tidak berfaedah, berakhlak jelek dan menurut hawa nafsu. 

Para ulama sufi telah mengarang sejumlah besar kitab yang khusus membicarakan tentang adab-adab syeikh dan sifat-sifat yang mesti ada padanya sehingga boleh dijadikan ikutan oleh para murid mereka.  

Kata Abu Madyan pula: Sesiapa yang mendakwa hampir kepada Allah tetapi tampak pada dirinya lima perkara berikut, sesungguhnya dia adalah seorang pendusta dan tidak berakal iaitu, melakukan maksiat dengan anggota badannya, melakukan bida`ah dalam ketaatan kepada Allah, haloba dengan sesuatu yang dimiliki oleh orang lain, kurang beribadah dan tidak menjaga kehormatan umat Islam mengikut yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu seseorang yang bersifat sebegini mesti dijauhi. 

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (7)


SOALAN  

Apakah matlamat mempelajari tasawwuf? 

JAWAPAN 

Matlamat tasawwuf itu adalah seperti berikut:
  1. Ma’rifah Allah s.w.t dengan cara beribadah kepada-Nya dengan cara bersungguh-sungguh dalam beribadah.
  2. Penyucian, pembersihan dan peningkatan jiwa sehingga ia layak memperolehi ma’rifah Ilahi.
  3. Membina masyarakat yang sejahtera dengan asas yang baik, akhlak yang mulia, berpegang dengan peraturan-peraturan agama dan jalan-jalan rahsia kesufian yang meningkatkan martabat pengamal.

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (8)


SOALAN

Bagaimana muncul perkataan sufi atau tasawwuf? 

JAWAPAN  

Di dalam buku Mengenal Ilmu Tasawwuf, dinyatakan: Hidup kerohanian semakin berkembang. Perkembangan ini dapat dikesan dari kelahiran gelaran baru mulai diperkenalkan iaitu gelaran ahli sufi. Istilah ini masih tetap mengandungi unsur kezuhudan dan iftiqar tetapi di samping itu ia mengandungi unsur yang selainnya yang merintis jalan kepada Kasf al-Haqiqah. 

Sejauh yang dapat dibuktikan oleh sumber tasawwuf bahawa gelaran ini telah lahir pada pertengahan kurun kedua hijrah. Menurut Hilyah al-Awliya’ bahawa orang yang mula-mula diberikan gelaran ahli sufi ialah Abi Hasyim al-Kufi (m. 150H) kerana cara dan perjalanan hidupnya yang mengikuti cara hidup Rasulullah s.a.w dan para sahabat, yang lebih mengutamakan cara hidup yang sangat bersahaja tidak terpengaruh dengan keseronokan dan kemewahan hidup dunia. 

Demikian juga, gelaran ini telah diberikan kepada ahli zuhud iaitu Jabir bin Hayyan dan kepada ahli zuhud di Kufah seperti Abd al-Sufi, Mansur bin Ammar. Di Basrah pula gelaran inidiberikan kepada Abu Hassan al-Basri. Penggunaan ini semakin popular seperti Malik bin Dinar, Abd al-Wahid bin Yazid dan lain-lain. Di Mesir gelaran ini mula dikenal pada akhir kurun kedua hijrah seperti yang dicatitkan oleh al-Kandi: 

Telah laihir di Iskandariah satu golongan yang menamakan dirinya ahli-ahli sufi yang menjalankan tugas Amr Makruh dan Nahy Munkar seperti yang dipercayainya. Golongan ini diketahui oleh seseorang yang bernama Abd al-Rahman al-Sufi. 

Sejalan dengan kelahiran gelaran ini, pengertian zuhud sudah merupakan suatu yang khusus sebagai salah satu daripada peringkat untuk menjadi seorang sufi. Ini dapat dikesan dari hasil-hasil karya puisi mereka seperti Rabi`ah al-Adawiyah,  Sufyan al-Thauri (160H), Abd al-Wahid bin Zaid (177H) dan Shaqiq al-Balkhi (194H). 

Perubahan idea kezuhudan dalam peringkat ini memberikan gambaran tentang zaman peralihan atau proses peralihan dari golongan atau istilah ahli zuhud kepada istilah ahli sufi. Ini dapat dijelaskan bahawa gelaran sufi atau tasawwuf dalam peringkat permulaannya ini mempunyai erti sama dengan makna kezuhudan, kefakiran dan ibadah, yang kemudiannya berkembang dari makna yang tersebut kepada makna yang lebih luas.

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (6)


SOALAN  

Apakah tajuk perbincangan tasawwuf? 

JAWAPAN 

Zat yang Maha Tinggi untuk ma’rifah-Nya dengan dalil. Juga jiwa, hati dan ruh bagi mentazkiyahnya. Di samping masalah akhlak dengan memasukkan akhlak yang mahmudah dan meninggalkan akhlak yang mazmumah. 

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (4)


SOALAN

Apakah hukum mempelajari tasawwuf? 

JAWAPAN 

Imam al-Ghazali berkata: Hukumnya fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para anbia. 
Syeikh al-Syazili berkata: Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya. 

Syeikh Dahlan al-Kadiri di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawwuf ialah wajib `aini pada setiap orang mukallaf. Hal ini adalah kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap: 

Maksudnya:
Siapa bertasawwuf tanpa feqah, sesungguhnya dia kafir Zindiq,

Siapa mempunyai feqah tanpa bertasawwuf sesungguhnya dia fasiq,
Siapa menghimpunkan kedua-duanya nescaya dia tahqiq.

Ibn `Ajibah berkata: Jadi Zindiq pada ayat yang pertama kerana pengucap dengan cara terpaksa yang menyebabkan nafi hikmah dan segala hukum manakala fasiq pada ayat kedua disebabkan tanpa ilmu daripada tawajjuh yang benar yang menghalang daripada maksiat Allah dan daripada ikhlas yang disyaratkan pada amalan. Sementara tahqiq pada ayat ketiga pula adalah kerana dapat melaksanakan hakikat pada zatnya yang berpegang dengan haq. Justeru ketahuilah yang demikian itu kerana tiada wujud baginya kecuali padanya seperti tiada sempurna baginya kecuali dengan-Nya. Maka fahamlah. 

RISALAH SOAL JAWAB HAKIKAT TASAWWUF (5)

SOALAN

Apakah faedah mempelajari ilmu tasawwuf? 

JAWAPAN 

Bagi mendidik hati dan ma’rifah Allah Yang Maha Mengetahui, sepertimana kata Ibn `Ajibah: Buah hasilnya ialah kelapangan (mulia) nafsu, selamat dada dan akhlak yang mulia bersama setiap makhluk.